KUALA LUMPUR, 14 Ogos: Polis Persekutuan Australia (AFP) menahan seorang penumpang yang didakwa mencetuskan ‘gangguan’ di dalam pesawat Malaysia Airlines MH122 semasa dalam penerbangan.
AFP dalam kenyataan media yang disiarkan di laman webnya berkata penumpang lelaki berumur 45 tahun itu ditahan tanpa sebarang insiden dan dijangka akan didakwa lewat malam ini.
“Penumpang itu telah dipindahkan dari pesawat. Tiada ancaman besar kepada orang ramai,” menurut kenyataan itu.
Menurut AFP pihaknya tidak akan mendedahkan butir-butir mengenai operasi, tetapi berkata pelan tindak balas kecemasan telah dilaksanakan dan tindakan memindahkan lelaki itu dibuat sebaik sahaja pelaksanaannya dianggap selamat untuk penumpang lain dan anak kapal.
Terdahulu, Malaysia Airlines dalam kenyataannya berkata MH122 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney menuju ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik pada pertengahan penerbangan kerana ada penumpang yang mencetuskan ‘gangguan’.
“Demi kepentingan keselamatan, komander penerbangan membuat keputusan untuk kembali ke Sydney. Penerbangan yang membawa 194 penumpang dan lima anak kapal itu mendarat dengan selamat pada pukul 3.47 petang waktu tempatan,” menurut kenyataan itu.
Satu klip video dipaparkan di aplikasi X (Twitter) oleh seorang individu yang mendakwa berada dalam penerbangan itu menunjukkan beberapa anak kapal cuba mententeramkan seorang lelaki selepas lelaki itu dilihat mula menjerit ke arah penumpang lain. – TVS