Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang melihat pameran Kartun ‘Seiring Sejalan’ bersempena Sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia 2023 (HKHM 2023) di Fahrenheit88 hari ini. Foto: Bernama

Pameran kartun “Seiring Sejalan” jadi wadah terap semangat perpaduan – Aaron

ByBernama

KUALA LUMPUR, 14 Ogos: Pameran Kartun “Seiring Sejalan” di Fahrenheit88, Bukit Bintang, di sini dari 11 Ogos hingga 30 Sept ini dapat menerap dan menyuburkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata setiap karya pada pameran itu kekal relevan sebagai wadah komunikasi yang sangat berkesan dalam menyalurkan mesej tentang kepentingan kesepaduan sosial sebagai pemangkin keharmonian masyarakat sekeliling.

“Ini ialah warisan kita dalam bentuk gambar atau seni visual. Ia seharusnya menjadi ejen saluran informasi dan mesej positif kepada masyarakat sekeliling sebagai usaha pembentukan jati diri bangsa dan perpaduan nasional.

“Pameran ini dibuat bagi menunjukkan proses penubuhan negara, Rukun Negara … jadi pengunjung yang hadir, melihat sejarah asas perpaduan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran kartun itu hari ini.

Pameran Kartun Seiring Sejalan ialah program anjuran bersama Arkib Negara Malaysia (ANM), Fahrenheit88 dan Rumah Kartun dan Komik Malaysia bertemakan We Are Greater Together bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, tahun ini.

Pameran kartun itu diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada orang ramai terutamanya generasi muda bahawa seni visual mampu menjadi wadah komunikasi yang sangat berkesan dalam menyampaikan mesej perpaduan kepada masyarakat.

Sementara itu, Pengarah ANM Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman ketika berucap berkata pameran kartun itu mempamerkan himpunan koleksi kartun berkaitan perpaduan masyarakat Malaysia, peristiwa kemerdekaan serta tokoh-tokoh Perdana Menteri terdahulu yang terdapat dalam simpanan ANM.

“Pameran ini memaparkan lebih 60 karya seperti kartun, komik, karikatur dan animasi dihasilkan 50 artis tempatan, yang diharapkan dapat memberi peluang kepada pengunjung untuk memahami sejarah negara ini dari sebelum, semasa dan selepas negara mencapai kemerdekaan.

“Kami percaya bahawa seni mampu menterjemahkan warisan dan budaya negara secara kreatif dan unik dalam menyampaikan mesej berkenaan isu semasa dengan pendekatan yang mudah difahami oleh masyarakat berbilang kaum dan pelbagai peringkat umur,” katanya.

Pameran kartun itu yang bermula dari 10 pagi hingga 10 malam turut diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik yang akan dilaksanakan setiap hujung minggu seperti Flea Market, Sembang Santai dengan Kartunis Otai serta Bengkel Melukis Kartun dan Komik. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment


Berita Berkaitan