Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Abdullah Saidol dan Ahmad Johnie Zawawi di reruai pameran Pesta Pulau Bruit, hari ini. Foto ihsan: Syamsul Rapi (Pusat Khidmat ADUN Semop)

Pesta Pulau Bruit tonjol hasil laut dan tani, raih nilai jualan lebih RM90,000

PULAU BRUIT, 13 Ogos: Pesta Pulau Bruit 2023 yang menonjolkan produk hasil laut dan tani, selama tiga hari bermula 11 Ogos dan berakhir hari ini, berjaya meraih nilai jualan lebih RM90,000.

Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol berkata beliau dimaklumkan demikian oleh penganjur utama pesta, Pejabat Daerah Daro dan Majlis Daerah Matu dan Daro.

Para peserta yang menyertai sukan rakyat Pesta Pulau Bruit, hari ini. Foto ihsan: Syamsul Rapi (Pusat Khidmat ADUN Semop)

Menurutnya, jualan terdiri daripada produk hasil laut dan pertanian di gerai-gerai yang terdapat di tapak festival – Kampung Tekajong.

“Antara yang menjadi daya tarikan dan keunikan pesta ini ialah penyediaan 82 khemah komuniti serta gerai jualan yang menawar pelbagai produk-produk dari hasil laut dan tani seperti ikan dan udang salai, keropok, belacan dan gula apong,” katanya pada majlis penutupan pesta berkenaan, di sini, hari ini.

Pesta Pulau Bruit bakal jadi tarikan baharu

Hadir sama, Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi dan Pegawai Daerah Daro Bujang Rahman Seli. Majlis perasmian disempurnakan Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab pada Sabtu.

Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berkata, Pesta Pulau Bruit kali ini antara yang paling meriah pernah dianjurkan di Pulau Bruit, justeru berpotensi untuk dipopularkan ke skala lebih besar.

“Kemeriahan dan sambutan yang luar biasa Pesta Pulau pada kali ini adalah dorongan yang kuat untuk mengadakan ia sebagai acara tahunan,” katanya.

Para pelawat, terutama dari bandar yang berkunjung ke pesta ini bukan hanya disajikan dengan produk serta hidangan makanan tempatan, malah turut berpeluang menikmati kehidupan desa masyarakat Melanau.

“Kita yakin suasana di Pulau Bruit pada masa akan datang lebih meriah dengan kedatangan ramai pelawat-pelawat luar apabila jambatan Batang Paloh dan jambatan Batang Lassa siap dalam masa setahun lebih lagi,” ujarnya.

Selain gerai jualan dan pameran, penganjur turut mengadakan pertandingan nyanyian, poco-poco, bermukun, memancing dan memasak.

Pesta berkenaan juga membabitkan pameran daripada 12 agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Yayasan Sarawak, Jabatan Pendidikan, Jabatan Pertanian dan Unit Komunikasi Awam Sarawak.

Jelasnya, aktiviti lain yang mampu menjadi tarikan terutama peminat pancing ialah lokasi memancing ikan laut di hujung Pulau Bruit.

“Walaupun program utama berpusat di Kampung Tekajong, setiap Unit Saberkas di 12 kampung Pulau Bruit turut mengadakan pelbagai acara sukaneka berpusat di dewan kampung masing-masing sepanjang hujung minggu yang melibatkan kanak-kanak dan wanita,” katanya.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada penganjur, Pejabat Daerah Daro dan Majlis Daerah Daro dan dibantu agensi-agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Persatuan Nelayan Kawasan dan sukarelawan dari Saberkas dan Skuad Sayang Pulau Bruit. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan