KUCHING, 13 Ogos: Pembinaaan Kompleks Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) berjalan lancar berikutan telah mencapai kemajuan 40.4 peratus setakat ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, beliau gembira dengan status kemajuan projek malah kontraktor terlibat dijangka dapat menyiapkannya lebih awal.
“Saya pernah datang ke pada 12 Mei lepas, ketika itu kemajuannya sekitar 28 peratus.
“Hari ini selepas dua bulan, kemajuan projek sudah mencapai 40.43 peratus iaitu mendahului 0.34 dari perancangan jadual asal.
“Ini merupakan kemajuan yang baik, sebab itu kita yakin dapat disiapkan mengikut jadual,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika lawatan tapak pembinaan Kompleks UNIFOR di Jalan Ong Tiang Swee di sini, semalam.
Sehubungan itu, Douglas Uggah yakin, projek yang menelan kos RM63.6 juta itu akan siap mengikut jadual.
“Pemantauan terhadap projek ini sangat penting (supaya tidak tertangguh atau menjadi projek sakit).
“Saya menyaksikan banyak projek sakit (sebelum ini tetapi projek ini) tidak.
“Kita berharap dapat menunaikan janji kepada komuniti bukan Islam untuk memberikan bangunan ini tepat pada masanya,” katanya.
Uggah Douglas menambah, UNIFOR merupakan dasar inklusiviti yang dapat membantu menyemarakkan perpaduan di Sarawak selain memastikan kepentingan dan kesejahteraan semua agama di Sarawak terpelihara.
Turut hadir, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn dan Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), Datu Jack Aman Luat.-TVS