KUCHING, 13 Ogos: Seni silat bukan sekadar untuk mempertahankan diri malah dapat membentuk keterampilan serta jati diri.
Menerusi penganjuran pelbagai kejohanan silat pula, ramai bakat baharu dapat dilahirkan sekali gus memastikan budaya ini tidak pupus.
15 tahun berkorban untuk bergelar juara dunia empat kali
Malaysia mempunyai reputasi besar di pentas silat antarabangsa apabila beberapa atletnya pernah bergelar juara dunia.
Antaranya Al-Jufferi Jamari dan Siti Rahmah Mohamed Nasir yang masing – masing mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi juara dunia sebanyak empat kali.
Berkongsi cerita, Siti Rahmah yang kini bergelar jurulatih silat skuad Malaysia berkata untuk berjaya, seseorang itu perlu banyak berkorban.
Kata Siti Rahmah, dia sendiri melakukan perkara itu dalam laluannya ke puncak karier.Â
“Banyak pengorbanan sepanjang tempoh 15 tahun namun saya nekad.
“Saya korbankan masa dengan kawan-kawan, ketepikan hal peribadi malah masa bersama keluarga juga terhad. Ketika itu, saya cuma fikir tentang satu perkara sahaja, macam mana hendak jadi juara,” katanya kepada penulis baru-baru ini.
Mengimbau kembali pengorbanan yang dilakukan, Siti Rahmah berkata, dia seolah – olah tidak percaya mampu berbuat demikian.
Pada mulanya kata Siti Rahmah, dia belajar silat hanya sekadar ‘suka-suka’ sahaja namun seni pertahanan diri itu membawanya pergi ‘jauh’.Â
“Sebenarnya sokongan ahli keluarga juga penting untuk kita mengecapi kejayaan,” katanya.
Pesilat Sarawak intai peluang bergelar juara dunia
Di Sarawak, seni silat juga semakin mendapat perhatian malah pelbagai usaha dilakukan persatuan dengan kerjasama kerajaan negeri untuk terus mengembangkan seni silat.
Dalam kalangan ramai pesilat muda berbakat di Sarawak, Mohd. Abdul Latif Maxzakir merupakan salah seorang yang berpotensi untuk bergelar juara.
Pesilat berasal dari Kuching itu yang kini merupakan anggota pasukan silat Malaysia berkata, dia menjadikan bapanya sebagai idola dalam dunia persilatan.
Ujarnya, bapanya Maxzakir Othman juga seorang pesilat yang pernah merangkul gelaran juara dunia pada 1994 di Thailand.
“Saya mula serius belajar silat semasa berumur 18 tahun dengan menjalani latihan berat dan kemudian sertai pertandingan di Kuching.
“Pada 2018, saya bertanding pada Sukan Malaysia (SUKMA) berjaya pingat perak. Pada SUKMA 2022, saya meraih pingat emas dan diserapkan dalam kontinjen Malaysia.
“Ketika ini saya sedang sibuk membuat persiapan sebelum bertanding pada Kejohanan Dunia di Jakarta, Indonesia tahun depan,” jelas beliau yang berusia 24 tahun.
Mohd Abdul Latif terpilih dalam skuad kontinjen Malaysia selepas memenangi pingat emas kategori Tanding Kelas H pada SUKMA tahun lepas.
Adik ikut jejak langkah abang sertai silat
Bagi Mohd Nurhasri Maxzakir, 19, pula yang mengikut jejak langkah abangnya, dia juga ingin mencapai kejayaan besar dalam sukan berkenaan.
Ketika ini Mohd Nurhasri merupakan salah seorang atlet silat dalam Pasukan Elit Bahagian Kuching yang akan bertanding pada beberapa siri kejohanan akan datang.
“Saya mengidolakan abang dalam dunia persilatan ini. Kejayaannya meraih emas SUKMA dan dipanggil menyertai pasukan Malaysia membuatkan saya kagum,” katanya.
Mengenai kejohanan akan datang, Mohd Nurhasri berkata, dia akan bertanding pada Kejohanan Silat Tertutup Kuching yang bermula pada 19 hingga 20 Ogos ini.
“Kejohanan seterusnya ialah Sukan Sarawak (SUKSAR) pada Disember kelak,” ujarnya.
Sementara itu, jurulatih silat Pasukan Elit Bahagian Kuching, Mohd Firdaus Rahmat berkata, dia sedang mempersiapkan atlet-atletnya untuk kejohanan akan datang.
Antara aspek yang diberi perhatian ialah teknik silat yang betul dan berkualiti.
“Sasaran saya mahu mereka menunjukkan prestasi yang baik, berjaya dan jadi juara.
“Semua jurulatih mahu atletnya jadi juara, kita didik mereka agar dapat menunjukkan prestasi yang baik dan menampilkan aksi berkualiti pada pertandingan yang disertai,” katanya.
Mohd Firdaus berharap setiap atlet dapat memberikan aksi terbaik dan seterusnya membawa kejayaan yang membanggakan.
Abdul Karim bangga usaha martabat silat di Sarawak
Usaha yang dilakukan oleh Rumpun Silat Sarawak untuk memartabatkan seni silat di sini telah mendapat perhatian Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Abdul Karim optimis sukan silat akan dapat terus berkembang menerusi penganjuran kejohanan yang mengasah potensi para pesilat.
“Banyak perkara diperlukan untuk sesuatu sukan berkembang. Ini termasuklah pembangunan, pengurusan yang baik dan yang paling penting, banyak pertandingan.
“Sekiranya tidak ada pertandingan, atlet yang berlatih setiap hari tidak ada kayu pengukur untuk di menilai kemampuan mereka dan pasukan sama ada di Sarawak, Malaysia, peringkat serantau atau dunia.
“Setakat ini kalau orang datang kepada kementerian dengan niat yang baik untuk mengembangkan sukan silat atau apa sahaja jenis sukan, kita sentiasa bersedia untuk membantu, tiada masalah,” ujarnya kepada penulis.
Seni silat memainkan peranan yang besar dalam memastikan budaya Melayu ini terkenal dan diwarisi di peringkat sejagat.
Sehubungan itu, silat perlu dipertahankan supaya satu daripada budaya yang sudah bertapak sejak sekian lama ini akan dapat dikekalkan dan diterima segenap lapisan masyarakat. -TVS