KUCHING, 13 Ogos: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan mendapatkan perintah jagaan sementara di mahkamah terhadap seorang kanak-kanak yang menjadi mangsa dera di Pasir Gudang, Johor.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ketika ini kanak-kanak berusia tujuh tahun itu sedang dirawat di hospital selepas diselamatkan semalam.
“Selepas ini kita akan bincang untuk menentukan siapa yang akan menjaganya selepas dibenarkan keluar dari hospital.
“(Berdasarkan maklumat) kanak- kanak ini masih mempunyai datuk dan nenek malah kakaknya juga tinggal dengan mereka,” katanya di sini hari ini.
Nancy berkata demikian sebagai mengulas perkembangan seorang kanak – kanak yang dipercayai didera oleh ibu dan rakan wanitanya yang berperwatakan lelaki.
Video yang menunjukkan jiran menyelamatkan kanak – kanak itu yang mempunyai kesan luka pada tubuh turut tular.
Mengenai pihak yang akan menjaga kanak – kanak itu selepas ini, Nancy berkata kementerian akan memberi pilihan sekiranya mangsa memilih untuk tinggal bersama datuk dan neneknya.
Terdahulu, Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong hadir pada Majlis Perasmian Penangguhan Pesta Sematan di sini hari ini. -TVS.