TANJUNG MANIS, 13 Ogos: Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyeru rakyat berbilang bangsa di Sarawak agar sentiasa menjaga perpaduan kaum yang terbina sejak sekian lama.
Premier Sarawak itu turut berpesan supaya jangan membangkitkan isu perkauman dan agama terutamanya melibatkan parti-parti politik.
Kata beliau, pentadbiran Bumi Kenyalang yang diterajui Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak bersikap sedemikian bagi menjaga keharmonian Sarawak.
“Kita (GPS) hanya fokus untuk membangunkan negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Safari Memancing Tanjung Manis 2023, Edisi ke-17 bersempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohammad Abu Bakar Marzuki.
Menurut Abang Johari yang juga Pengerusi GPS, hasil penyatuan rakyat pelbagai kaum di Sarawak telah memainkan peranan yang besar dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi di sini.
Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata demikian sebagai mengulas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di Semenanjung Malaysia semalam.
Keputusan menyaksikan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang berjaya dipertahankan oleh Pakatan Harapan dan Barisan Nasional manakala Kelantan, Kedah dan Terengganu kekal dikuasai Perikatan Nasional (PN). – TVS