GEORGE TOWN, 12 Ogos: Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menepati ramalan bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Kota bagi penggal keempat berturut-turut dengan majoriti 7,116 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini.
Menurut keputusan rasmi, Kon Yeow dari Pakatan Harapan (PH) memperolehi 8,261 undi meninggalkan calon Perikatan Nasional (PN), H’ng Khoon Leng yang hanya mendapat 1,145 undi.
Ahli Parlimen Batu Kawan berusia 65 tahun itu merupakan penyandang kerusi DUN Padang Kota sejak 2008.
Kon Yeow dinamakan sebagai calon Ketua Menteri bagi penggal kedua jika gabungan PH – Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan negeri pada PRN ini.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Kon Yeow mendapat 9,278 undi dengan majoriti 7,808 undi meninggalkan Khoon Leng dari Gerakan (1,470 undi) dan calon Parti Bersama Malaysia, Goh Saik Wei (71 undi). – TVS