KUALA LUMPUR, 12 Ogos : Keputusan tidak rasmi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu menyaksikan enam kerajaan negeri mempertahankan pentadbiran masing – masing.
Setakat pukul 10.40 malam tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional di Negeri Sembilan berjaya membentuk kerajaan negeri selepas menang majoriti mudah di 19 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
PH-BN menang di DUN Chennah, Pertang, Sungai Lui, Bahau, Lenggeng, Lobak, Temiang, Sikamat, Seri Menanti, Senaling, Pilah, Johol, Chembong, Kota, Chuah, Lukut, Sri Tanjung, Gemencheh dan Repah, daripada keseluruhan 36 kerusi.
Di Terengganu, Perikatan Nasional (PN) menerusi parti utamanya Pas mempertahankan Negeri Pantai Timur itu dengan meraih majoriti dua pertiga setakat pukul 10.23 malam.
Di Kelantan, PN juga juga sedang menguasai di kebanyakan daripada 45 DUN yang dipertandingkan.
Di Kedah, PH-BN setakat ini menang satu kerusi iaitu di DUN Kota Darul Aman dan sedang memberi saingan di DUN Sidam dan Kulim manakala PN semakin menghampiri jumlah 19 kerusi untuk membolehkan majoriti mudah membentuk kerajaan negeri.
Di Pulau Pinang pula PH-BN hampir pasti menang apabila mendahului keputusan awal di hampir 20 DUN dengan PN hanya memberi saingan di kawasan utara Seberang Perai.
Selangor yang menyaksikan PH bersama BN berdepan saingan sengit di kawasan utara negeri itu dilihat mampu untuk mengekalkan penguasaan di negeri yang mempunyai pengundi paling ramai itu. -TVS