KUCHING, 12 Ogos: Pemain biola berasal dari Sibu, Sarawak, Imran Azim Iskandar mengharumkan nama negara apabila meraih pingat emas genre muzik klasik pada World Championship of Performing Arts (WCOPA) yang berlangsung di Anaheim, Amerika Syarikat, baru- baru ini.
Lebih membanggakan, pemuzik berusia 17 tahun itu turut meraih dua perak dan dua gangsa.
Perak dibawa pulang menerusi kategori kotemporari dan karya asli manakala gangsa untuk genre jazz dan genre terbuka.
Dihubungi TVS, Imran Azim berkata, dia berpuas hati dengan pencapaiannya pada pertandingan berprestij itu namun masih ada beberapa aspek perlu diperbaiki pada pertandingan akan datang.
“Saya akan cuba memperbaiki persembahan pada masa akan datang khususnya aspek teknikal,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi anak Sarawak dari Kuching, Elwyn Jung turut membanggakan apabila meraih pingat dalam kesemua acara tarian yang disertainya.
Elwyn meraih perak bagi kategori kontemporari, jazz dan tarian etnik manakala gangsa menerusi genre lyrical, teater muzikal dan genre terbuka yang mana dia mempersembahankan tarian ballet.
Kata Elwyn, persembahan bagi genre kontemporari merupakan tarian yang paling mencabar kerana ia merupakan acara terakhirnya selepas melakukan lima tarian sebelum itu.
“Saya berasa letih namun tetap memberi yang terbaik dalam pertandingan yang cukup bermakna ini.
“Bagi saya, apa yang penting ialah pertandingan ini membuka ruang persahabatan dan belajar dengan peserta dari pelbagai negara lain seperti Filipina, Belgium, Jerman, Perancis, Indonesia dan lain-lain,” katanya.
Elwyn berazam untuk kembali ke pertandingan itu pada edisi akan datang dan menyasarkan untuk meraih emas.
Kedua-dua anak seni ini dijadual akan pulang ke tanah air pada 20 Ogos ini. -TVS