KUCHING, 12 Ogos: Kerajaan Sarawak optimis membantu pelajar Bumiputera melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengakui yuran pengajian yang mahal antara kekangan bagi golongan tersebut menempah tempat di menara gading sebelum ini.
“Saya gembira, semasa konvokesyen di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) banyak graduan daripada golongan Bumiputera.
“Saya minta maaf, ini kerana sebelum ini kurang kerana mereka tidak mampu untuk membayar yuran pengajian yang agak tinggi.
“Sebab itu saya arahkan Yayasan Sarawak untuk menyediakan biasiswa, jadi kita adil, siapa yang layak, bijak pandai termasuk Bumiputera atau bukan Bumiputera boleh melanjutkan pengajian mereka ke tahap lebih tinggi,” katanya sambil berseloroh hasrat beliau itu bakal dijayakan setelah menyaksikan pendapatan Sarawak terus meningkat.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian dan Penutupan Hari Inovasi dan Integriti Tanah dan Survei (HIITS) 2023 di sini, pada Sabtu.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh dan Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Datu Abdullah Julaihi.
Pada masa sama, Abang Johari meyakini bahawa pendapatan Sarawak akan terus meningkat menjelang 2024.
“Saya bagi trend pendapatan sahaja, nampak gayanya bertambahlah. Ini baru trend saya tidak mahu sebut angkanya.
“Apabila hasil kita cukup, kalau Norway, Scandivania, dan Jerman boleh. Mengapa Sarawak tidak boleh? Kita mesti ada semangat,” tegasnya lagi. -TVS