LAWAS, 12 Ogos: Generasi muda merupakan aset utama pembangunan masa depan Sarawak yang harus bergiat aktif dalam usaha memperkasakan modan insan di negeri ini, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau mengakui Kerajaan Sarawak komited meneruskan pembangunan infrastruktur sekali gus meningkatkan penglibatan golongan tersebut khususnya di Lawas.

Pada masa sama kata beliau perlaksanaan pembangunan kemudahan sukan di Lawas adalah usaha berterusan kerajaan untuk mengembangkan bakat-bakat belia di Lawas.
“Kita mahu generasi muda kita ini aktif dan dapat memberi sumbangan bukan sahaja kepada diri, keluarga, masyarakat, negeri dan negara kerana mereka adalah aset utama untuk meneruskan kepimpinan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan Bola Sepak Lelaki 7 Sebelah Piala Pusingan Edisi ke-4 anjuran Long Sebangang Football Team di Dataran Bandar Lawas hari ini.
Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak itu dalam pada itu mengakui kesihatan fizikal dan mental belia Sarawak harus dipelihara dengan baik agar mereka bergiat aktif.
“Untuk itu beberapa kemudahan-kemudahan sukan rekreasi akan kita laksanakan, ada yang sudah dilaksana dan ada dalam perancangan.
“Kemudahan kolam renang sedang dalam pembinaan sekarang dan itu adalah olimpik standard selepas itu nanti, ia boleh menjadikan Lawas sebagai pusat untuk pertandingan kebangsaan ataupun antarabangsa,” ujarnya lagi.
Sejumlah 27 pasukan mengambil bahagian yang terdiri daripada pasukan tempatan Lawas dan negeri Sabah.
Hadir sama Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong serta isteri, Datin Tunong Palong, ADUN Batu Danau, Paulus Palu Gumbang dan isteri, Mary Sindang, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abidin Dato Pengiran Jawa, Residen Bahagian Limbang, Yunus Tambi dan Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud. – TVS