Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Produk-produk yang dihasilkan secara mampan oleh komuniti orang asal di bawah projek WWF-Malaysia akan dipamer dan dijual di Muzium Budaya Borneo. - Foto: WWF-Malaysia

WWF-Malaysia yakin konservasi lebih berkesan dengan penyertaan penduduk tempatan

KUCHING, 11 Ogos: Tabung Alam Malaysia (WWF-Malaysia) percaya bahawa konservasi akan berkesan apabila masyarakat orang asal dan tempatan mengambil bahagian dalam amalan penggunaan tanah yang mampan dan bersama-sama menjaga alam semula jadi.

WWF-Malaysia menerusi kenyataan media hari ini berkata, selain itu, pengetahuan tradisional masyarakat juga dapat menambah nilai dalam usaha-usaha konservasi.

Pengurus Perhubungan dan Pendidikan Komuniti WWF-Malaysia di Sarawak, Ailyn Nau Sidu. – Foto: WWF-Malaysia

Sehubungan itu, WWF-Malaysia akan menganjurkan acara dua hari untuk meraikan komuniti orang asal yang memperjuangkan usaha konservasi di Sarawak.

Acara ini, yang akan diadakan sempena Hari Antarabangsa Orang Asal Sedunia merangkumi forum dan lawatan ke tapak projek.

Forum dan pameran mini akan berlangsung di Galeri Seni dan Kraf, Muzium Budaya Borneo di sini pada 19 Ogos bermula 8.30 pagi hingga 3 petang.

Orang awam dan pengunjung muzium dialu-alukan untuk menghadiri forum yang bertemakan, ‘Belia Orang Asal Sebagai Agen Perubahan untuk Penentuan Diri’. Penyertaan forum dan pameran mini ini adalah percuma.

Pada 20 Ogos, komuniti projek WWF-Malaysia yang datang dari luar Kuching akan berpeluang melawat kawasan diuruskan oleh komuniti yang dipanggil Hutan Warisan Jagoi di Bau.

Lawatan ini bertujuan memberi peluang kepada mereka untuk belajar secara langsung daripada komuniti Jagoi mengenai pengurusan sumber alam.

Pengurus Perhubungan dan Pendidikan Komuniti WWF-Malaysia di Sarawak, Ailyn Nau Sidu berkata, objektif acara ini adalah untuk mewujudkan kesedaran tentang konservasi inklusif dalam kalangan orang ramai, memberi peluang kepada komuniti orang asal untuk belajar antara satu sama lain mengenai usaha konservasi mereka.

Malah ia adalah mengenai bagaimana budaya dan adat mereka membantu dalam memelihara dan memulihara sumber semula jadi dan menggalakkan perhubungan antara generasi dan peralihan hijau.

“Konservasi inklusif bermakna mengiktiraf hak komuniti orang asal dan komuniti tempatan dalam menguruskan tanah nenek moyang mereka secara mampan untuk kesejahteraan alam semula jadi dan diri mereka sendiri.

“Ia juga bermakna menyokong komuniti orang asal dan tempatan di peringkat akar umbi dan ini termasuk penyertaan wanita dan belia dalam usaha mereka melindungi kawasan mereka dan biodiversiti sekitar,” katanya.

“Untuk forum di BCM, kami akan mengetengahkan kisah kejayaan usaha masyarakat orang asal dalam memelihara sumber asli. Peserta forum juga akan berpeluang mendengar pengalaman kakitangan WWF bekerja dengan komuniti orang asal walaupun mempunyai perbezaan budaya dan kekangan bahasa,” tambahnya.

WWF-Malaysia berharap acara ini dapat membantu mempromosikan produk masyarakat seperti kraf rotan, penanaman padi menggunakan kaedah Sistem Intensifikasi Padi atau System of Rice Intensification (SRI) dan lada yang dihasilkan secara mampan kepada penduduk tempatan dan pelancong, dan berkongsi cerita produk mereka yang berhubung kait dengan konservasi.

Di Sarawak, Ailyn berkata, antara lain, WWF-Malaysia bekerjasama dengan komuniti Lun Bawang di Ba’ Kelalan dalam amalan pertanian mampan untuk beras. Di Long Semadoh pula, komuniti terlibat dalam kerja-kerja pemulihan tebing sungai.

“Kami bekerjasama dengan komuniti Iban di Song-Katibas di bahagian Kapit dalam penanaman lada mampan; Gunung Lesong-Ulu Sebuyau dan Ulu Sungai Menyang di Sri Aman dalam agroperhutanan untuk membantu memulihara kawasan orangutan dan menambah baik kehidupan masyarakat.”

“Di Hutan Warisan Jagoi, kami bekerjasama dengan komuniti Bidayuh untuk memulihkan kawasan hutan warisan mereka yang telah terdegradasi dan menyokong Gunung Jagoi diiktiraf sebagai kawasan Senarai Hijau Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN),” katanya.

Bagi menyemarakkan lagi sambutan, komuniti dan kakitangan WWF-Malaysia akan membuat beberapa persembahan kebudayaan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan