SIBU, 11 Ogos: Seorang warga emas menemui ajal selepas motorsikal yang ditunggangnya digilis sebuah lori dalam kemalangan di Jalan Deshon di sini petang semalam.
Dalam kejadian itu, mangsa ,77, meninggal dunia di tempat kejadian sekitar jam 5.25 petang.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, kemalangan berlaku apabila mangsa dipercayai hilang kawalan ketika menunggang motosikal sebelum terjatuh dan digilis tayar belakang sebuah lori di tempat kejadian.
“Sebelum kejadian, mangsa sedang menunggang motosikal melalui Jalan Deshon dan tiba-tiba hilang kawalan lalu terjatuh sebelum digilis tayar belakang lori yang bergerak semasa lampu isyarat hijau,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.
Zulkipli berkata, akibat kemalangan itu, mangsa mengalami cedera parah di bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Tambahnya, polis sedang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Sementara itu, Zulfipli berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Mohd Salman Zulfitri Sheekandar di talian 013-9999269. -TVS