SARIKEI, 11 Ogos: Program Kempen Basmi Tikus di sini diadakan lokasi tumpuan orang ramai sebagai usaha meningkatkan kesedaran berkenaan kebersihan setempat.
Antara lokasinya merangkumi asar Tamu Sungai Rajang, Medan Selera, Pasar Sungai Sarikei dan Pasar Buah-Buahan.
Ahli Majlis Daerah Sarikei, Kaunselor Ling Chai Yun berkata kempen berkenaan bertujuan membendung penyakit leptospirosis dalam kalangan komuniti.
“Program dilaksanakan untuk menimbulkan kesedaran pentingnya menjaga kebersihan persekitaran bagi mengelakkan pembiakan tikus sekali gus dapat menghindari jangkitan penyakit yang berbahaya.
“Selain mengedarkan risalah kempen ia turut dilakukan dengan memberi penerangan secara bersemuka kepada orang ramai khususnya peniaga di kawasan yang terlibat,” katanya.
Ling berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Dato’ Sri Huang Tiong Sii merasmikan kempen berkenaan di sini, pada Jumaat.
Sehubungan itu, Ling mengingatkan warga Sarikei agar sentiasa menjaga kebersihan terutama dalam kalangan komuniti penjaja dan restoran.
“Kita juga memohon agar semua masyarakat bekerjasama dengan MDS supaya tahap kebersihan dapat ditingkatkan,” ujarnya. -TVS