KUCHING, 11 Ogos: Anak jati Sibu, Superintendan Dr Collin Babat yang juga Timbalan Ketua Polis Sibu tidak pernah mengimpikan untuk melakar sejarah bergelar pegawai polis Iban pertama di Malaysia menggengam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam jurusan undang-undang.
Bersandarkan kepada tesis bertajuk ‘Penghukuman Pesalah Wanita terhadap Pembunuhan Kanak-Kanak di Malaysia dan England & Wales’, beliau mencipta pencapian berkenaan dengan menjalankan kajian terhadap perbandingan berkenaan hukuman yang berbeza untuk wanita muda yang mengorbankan bayi mereka sendiri.
“Sebagai anggota polis, kami sedar masalah ini dalam masyarakat dan saya berharap dengan kajian ini kita boleh, ataupun mengubah, juga menambah baik sistem undang-undang dalam menjatuhkan hukuman kepada ibu muda.
“(Namun begitu) tidak pernah dalam impian saya untuk menjadi pegawai polis iban pertama yang mempunyai PhD, terutamanya dalam bidang undang-undang, tetapi saya sangat, sangat bersyukur dan berterima kasih atas pengiktirafan yang diberikan yang pastinya akan mendorong saya untuk berkhidmat kepada kaum Dayak dan negara,” katanya.
Dr Collin berkata demikin dalam satu temu bual khas bersama TVS baru-baru ini.
Bercakap mengenai inspirasi beliau, Dr Collin mendedahkan pengorbanan ibu ketika membesarkannya telah meniup semangatnya menempa kejayaan hingga ke hari ini.
“Dia (ibu)  telah menjadi pendorong terhebat dalam pencapaian ini. Keluarga saya juga sentiasa menyokong saya dan mendorong saya untuk sentiasa menjadi yang terbaik antara yang terbaik,” ujarnya.
Dalam pada itu, kejayaan beliau turut dicorak dengan tunjuk ajar serta sokongan para tenaga pengajar seperti penyelia utamanya, Profesor Madya Dr. Zaiton Hamin, dan penyelia kanan, Dr Nadzriah Ahmad, serta rakan sejawat dan pensyarah PhD.
Beliau juga berharap kejayaannya akan menjadi contoh untuk generasi muda agarterus berusaha demi membuahkan masa depan yang cemerlang.-TVS