BINTULU, 11 Ogos: Sebanyak 41 negara termasuk Malaysia memeriahkan Festival Layang-Layang Antarabangsa Bintulu 2023 bermula 27 September hingga 1 Oktober depan.
Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dalam satu kenyataan berkata festival ini akan berlangsung di Lasar Kenyalang @ Lapangan Terbang Lama Bintulu dari jam 8 pagi hingga 11 malam.
“Festival ini dianjurkan setiap tahun dengan objektif pertama Inklusi sosial di mana sukan layang-layang sebagai satu landasan interaksi pelbagai kaum, memperkenalkan seni budaya tempatan,” menurut kenyataan baru-baru ini.
BDA menerusi kenyataan juga optimis festival itu bakal membuka peluang perniagan kepada pengusaha dan peniaga-peniaga kecil, secara tidak langsung mempromosikan produk makanan tradisional dan kraf tangan tempatan.
“Ini juga dapat menjadikan Bintulu sebagai destinasi pelancongan, beriadah dan beristirhat bersama keluarga.
“Mayarakat juga disaran untuk menjaga kebersihan bagi memastikan festival ini berjalan dengan lancar,” ujar BDA sambil mendedahkan pelbagai aktiviti menarik akan berlangsung sepanjang festival tersebut seperti gerai jualan dan pentas hiburan pada sebelah malam. -TVS