MUKAH, 10 Ogos: Usaha mengenal pasti tapak baharu bagi Pusat Ekonomi Digital (PEDi) untuk Kampung Semop, di Pulau Bruit sedang dilaksanakan, kata Datuk Abdullah Saidol.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu berkata inisiatif berkenaan susulan ruang tapak lama PEDi Semop agak terhad berikutan penambahan aktiviti berkaitan yang dijalankan di pusat berkenaan.
Langkah itu menurut beliau sejajar dengan hasrat untuk memastikan masyarakat desa tidak ketinggalan dalam memahami agenda kerajaan selain memberi peluang kepada mereka untuk terlibat dalam aktiviti sosioekonomi melalui perniagaan digital.
“Saya bersama Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Sarawak, Adiman Ajem dan Ketua Masyarakat mengadakan tinjauan bagi mengenal pasti tapak baharu untuk PEDi Kampung Semop.
“PEDi baharu itu nanti juga akan menjadi pusat inovasi kerana tempat lama sudah terlalu kecil. Banyak aktiviti dan kursus berkaitan internet atau aplikasi tertentu diadakan di pusat ini nanti,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) berkata demikian kepada pemberita di Kampung Semop, pada Rabu.
Sementara itu, Pengarah MCMC Sarawak, Adiman Ajem berkata, usaha pihaknya adalah menyediakan perkhidmatan jalur lebar yang berkualiti selain memperbaiki taraf sosioekonomi masyarakat di sini.
Pelbagai inisiatif kata Adiman kini giat digerakkan ke arah mencapai objektif tersebut termasuk mewujudkan lebih banyak PEDi baharu di seluruh negeri ini.
“Setakat ini, Sarawak mempunyai 133 buah PEDi dan dalam tahun ini atau tahun depan, kita akan melaksanakan lebih 20 buah PEDi baharu di Sarawak termasuk di Kampung Semop,” katanya sambil mendedahkan projek di Kampung Semop dijangka menelan kos RM200,000.- TVS