NIBONG TEBAL, 10 Ogos: Sekolah golongan miskin yang ideanya dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkemungkinan akan dijadikan sekolah model khas, ujar Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Fadhlina berkata, pihaknya ketika ini sedang memperhalusi mekanisme terbaik dalam usaha merealisasikan jenis sekolah baharu itu untuk dilaksanakan tahun hadapan.
Ujarnya, tumpuan akan diberikan kepada beberapa kriteria yang berkait rapat dengan isu-isu kemiskinan, bantuan dan keadaan yang akan memberikan sokongan kepada ekosistem keseluruhan sekolah itu kelak.
“Bila kita bercakap tentang model khas, maknanya kita bercakap tentang akses.
“Di tempat yang paling sukar untuk anak-anak pergi ke sekolah, di situlah sekolah model khas untuk anak-anak miskin ini akan didirikan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi ramah mesra pada Program Pembinaan Karakter Bangsa Malaysia Pelajar Lepas Menengah di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad.
Pada Sabtu lalu, Perdana Menteri berkata, kerajaan berhasrat memperkenalkan sekolah khas untuk anak golongan paling miskin di negara ini supaya tidak tertinggal dalam arus pendidikan.
Jenis sekolah baharu itu akan berpandukan kerangka sekolah menengah sains dan berasrama penuh bagi membolehkan golongan berkenaan berpeluang mendapat akses pendidikan walaupun keputusan peperiksaan kurang memberangsangkan. – TVS