MUKAH, 10 Ogos: Pesta Pulau Bruit yang akan bermula esok bukan sekadar acara keramaian sebaliknya bakal menyerlahkan pelbagai potensi kawasan itu kepada pengunjung.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol berkata, pesta kali pertama itu bakal mencipta sejarah tersendiri khususnya bagi penduduk di 14 buah penempatan termasuk sebuah rumah panjang di situ.
“Jika sambutannya baik, insya-Allah ia akan dimasukkan dalam kalender tahunan,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.
Sementara itu, Abdullah berkata, Pulau Bruit mempunyai banyak aspek yang boleh ditawarkan kepada pengunjung luar terutama di kawasan utara yang terkenal dengan pengeluaran hasil pertanian dan perikanan.
Pada masa yang sama katanya, Pusat Biodiversiti Sarawak turut mengenal pasti kawasan selatan pulau terbabit sebagai pusat pengeluaran gula apong.
“Mungkin pada masa akan datang, kawasan ini mempunyai banyak hasil organiknya yang boleh dikeluarkan sekali gus menjadi tarikan kepada lebih ramai pengunjung,” ujarnya.
Pesta yang berlangsung selama tiga hari itu bakal menyediakan ruang ekonomi kepada penjaja kecil melalui Gerai Komuniti Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Pulau Bruit, Gerai Usahawan Pulau Bruit di samping ekspo pembangunan dan pameran pelbagai agensi.
Pada masa yang sama, pelbagai menarik termasuk pentas hiburan dan safari memancing juga akan diadakan sepanjang penganjuran pesta tersebut. – TVS