KUCHING, 10 Ogos: Aktiviti memasak mi segera dalam buluh ruas ketika berada di dalam hutan merupakan kenangan yang segar dalam ingatan Mejar (B) Untai Dana bersama mendiang Mejar (B) Michael Riman Bugat.
“Mendiang sangat meminati masakan pansuh. Jadi ketika itu, saya, Michael dan mendiang Temenggong Datuk Kanang Anak Langkau mengidam makan mi segera.
“Namun, kami tiada peralatan untuk memasak. Jadi, kami pergi mengambil buluh di hutan dan memasak mi segera di dalam ruas buluh tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai upacara pengebumian mendiang Mejar (B) Michael Riman di Makam Pahlawan Kuching, di sini hari ini.
Jasad mendiang Mejar (B) Michael Riman selamat disemadikan di Makam Pahlawan Kuching
“Kami menggelarkan menu tersebut sebagai Mi Pansuh. Kami juga pernah berusaha untuk mempromosikan menu ini kepada orang ramai, tetapi tidak jadi,” ceritanya lagi.
Untai juga mengakui beliau telah lama mengenali mendiang sambil menyifatkan mendiang merupakan seorang yang pendiam namun suka melawak apabila bersama sahabatnya.
“Dia seorang yang pendiam namun apabila mendiang bersama kawan rapatnya, mendiang merupakan seorang yang lucu dan sentiasa membuat lawak.
“Saya mengenali mendiang sejak tahun 1981. Kami melalui banyak peristiwa bersama termasuklah membawa 21 rangka ‘Bujang Berani’, iaitu perwira atau pahlawan kaum Iban diterbangkan khas menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dulu,” tambahnya lagi.
Untai, merupakan anak jati Saratok, adalah bekas guru Bahasa Inggeris sebelum direkrut sebagai Tentera Darat ketika negara diancam pengganas komunis.
Terdahulu, Mejar KM (B) Michael Riman Bugat yang meninggal dunia pada Isnin, selamat disemadikan di Makam Pahlawan Kuching jam 10.30 pagi, pada Khamis.
Upacara pengebumian mendiang telah disaksikan kira-kira 200 orang termasuk ahli keluarga dan teman-teman rapat yang datang untuk memberikan penghormatan terakhir. – TVS