KUALA LUMPUR, 10 Ogos: Seorang guru memanfaatkan wang RM300 yang diterima menerusi bantuan khas penjawat awam untuk membantu pembelajaran anak muridnya.
Arbaie Adnan, 27, guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Kurshiah, Negeri Sembilan berkata beliau menggunakan duit berkenaan untuk menyediakan salinan nota dan latihan tambahan.
“Saya berharap mereka tidak akan berasa ketinggalan dalam pelajaran,” katanya kepada Bernama hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan bantuan khas penghargaan RM300 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan bantuan RM200 kepada pesara kerajaan termasuk pesara berpencen, penerima pencen terbitan, pesara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pesara bersara pilihan dan belum menerima pencen, veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.
Sementara itu, pembantu tadbir di sebuah universiti awam di ibu kota, Khairunnisa’ Iskandar Hayat, 25, berkata bantuan tersebut membantu meringankan beban kos komitmen bulanannya seperti bayaran sewa rumah.
“Wang tambahan yang ada pada bulan ini akan disimpan dalam tabung untuk digunakan sewaktu kecemasan,” katanya yang sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang pendidikan.
Sementara itu, pesara Omar Jaafar, 65, berkata bantuan RM200 yang diterima sedikit sebanyak membantu menampung perbelanjaan bagi rawatan fisioterapinya.
Beliau yang diserang angin ahmar lapan bulan lepas kini mendapatkan rawatan susulan di hospital swasta.
Pesara guru Kelsom Ahmad, 61, pula berkata beliau akan menggunakan bantuan tersebut untuk membeli barangan keperluan.
Kelsom turut mengucapkan terima kasih atas ingatan dan kepekaan kerajaan terhadap kebajikan pesara. -TVS