LAWAS, 10 Ogos: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berjaya memadam kebakaran belukar seluas lima ekar berhampiran Kampung Melusok, Jalan Punang, petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas, Penolong Penguasa Bomba Azman Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 2.37 petang.
Menurut beliau, ketika anggota BBP Lawas tiba di lokasi, api sedang marak.
“Seramai 10 anggota bersama empat kenderaan bomba terlibat dalam operasi berkenaan dan kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya,” katanya kepada media hari ini.
Kata beliau, kawasan kebakaran terletak kira-kira dua kilometer (km) dari BBP Lawas.
Sementara itu, Azman turut menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka terutamanya di kawasan yang mudah terbakar.
“Bomba mengesan masih terdapat aktiviti pembakaran terbuka di kawasan titik panas.
“Ini sangat berisiko kerana faktor musim panas dan kering yang melanda negara sekarang,” katanya. -TVS