KUCHING, 9 Ogos: Bergelar penghuni di Penjara Puncak Borneo Kuching (PPBK) tidak menjadi halangan untuk mendalami ilmu tenunan songket.
Salah seorang tahanan di situ, Ijoy (bukan nama sebenar) antara yang diberi peluang untuk menyertai bengkel tenunan songket yang mula dibuka pada 2019.
Mengakui proses berkenaan agak rumit namun berbekalkan kesungguhan, Ijoy berjaya menguasai kemahiran itu.
Cerita Ijoy, sebelum sertai kelas tenunan songket di PPBK, dia langsung tidak mengetahui tentang persalinan itu yang sering digayakan pada majlis istimewa.
“Pada mulanya, saya tidak berminat (untuk belajar menenun) kerana proses menenun menggunakan benang yang banyak sehingga menyebabkan saya berasa sakit kepala.
“Namun perasaan itu berubah selepas berjaya siapkan sehelai songket, saya menjadi semakin bersemangat malah berazam untuk belajar dengan lebih mendalam.
“Alhamdulillah sekarang sudah mahir,” katanya kepada TVS baru – baru ini.
Jelas Ijoy lagi, selepas menguasai ilmu tenunan, dia menghasilkan lebih banyak kain songket malah turut mencuba menjahit selendang.
Dia juga berbangga apabila Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan memperagakan selendang yang dihadiahkan olehnya ketika lawatan baginda ke sini pada tahun lepas.
“Kain yang paling saya ingat ialah kain ikat pakan, selendang yang dipakai oleh Raja Permaisuri Agong sebab itulah kali pertama saya buat proses ikat pakan yang agak susah,” katanya teruja berkongsi cerita.
Seorang lagi penghuni Man (bukan nama sebenar) pula merupakan salah seorang daripada tiga penenun PPBK yang menyertai Pertandingan Anugerah Kreatif Peringkat Jabatan Penjara Malaysia pada tahun lepas.
“Ada dua hasil tangan yang istimewa bagi saya, yang pertama kain Brunei yang susah dibuat dan kain kedua pula, saya hasilkan untuk Pertandingan Anugerah Kreatif Penjara Malaysia yang mana pasukan kami berjaya mendapat tempat kedua,” jelasnya.
Bersetuju dengan Ijoy, Man turut mengakui proses menghasilkan kain songket memerlukan kesabaran yang tinggi.
“Semuanya mencabar kerana tiada jalan pintas untuk menenun songket.Proses ini memerlukan kesabaran, kalau seseorang itu bersifat pemarah, dia perlu belajar bersabar,” katanya lagi.
Ditanya mengenai perancangan masa hadapan, Man berharap agar dapat meneruskan kemahiran menenun songket selepas dibebaskan kelak.
“Andai diberi peluang untuk bekerja dalam bidang ini atau diberi bantuan (untuk memulakan peniagaan) saya akan sahut dengan menggunakan kemahiran yang dipelajari di sini,” katanya lagi.
Berkongsi hasrat serupa, Along (bukan nama sebenar) yang sudah menghasilkan 40 helai sarung dan tujuh helai selendang songket berharap ada pihak yang sudi memberi peluang pekerjaan kepada mereka selepas dibebaskan nanti.
“Saya melihat peluang dalam industri songket ini luas malah hasilnya juga lumayan.
“Saya berharap nanti apabila sudah bebas, ada pihak yang dapat mengambil kami bekerja atau membeli hasil tangan kami ini,” katanya menyuarakan secebis harapan. -TVS