KUCHING, 9 Ogos: Program kesedaran yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak bertujuan untuk menghindari golongan remaja supaya tidak terjebak dengan masalah kehamilan bawah umur.
Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, menerusi program itu, pihaknya menerangkan secara terperinci kepada kumpulan sasar mengenai kesan yang terpaksa ditanggung oleh mereka sekiranya terlibat.
“Apabila melaksanakan program, kita mahu mendidik golongan remaja mengapa perlu mengelakkan berlakunya kehamilan.
“Ini termasuk kesan (terhadap) kesihatan remaja (yang hamil bawah umur),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Persidangan Antarabangsa Psikopatologi Kanak-Kanak dan Remaja (ICCAP) 2023 di sini hari ini.
Yang turut hadir, pengerusi penganjur, Profesor Dr Cecilia Essau.
Sementara itu, Fatimah berkata, aspek penerimaan keluarga terhadap remaja yang terlibat dengan masalah itu juga merupakan antara penting yang perlu diselesaikan.
“Ini supaya tidak membawa kepada kes pembuangan bayi oleh remaja yang hamil bawah umur.
“Bagi remaja yang tidak diterima oleh keluarga, mereka akan ditempatkan di pusat perlindungan bagi memastikan kebajikan dan kesihatan dijaga sepanjang tempoh kehamilan,” katanya.
Menurut Fatimah penyediaan pusat berkenaan bukan bermaksud pihaknya menyokong kes hamil bawah umur sebaliknya langkah itu dilakukan bagi menyelamatkan nyawa bayi.
“Ini juga dapat membantu remaja itu hilang arah tuju selain memastikan mereka bersedia untuk berhadapan dengan masyarakat selepas selesai proses kelahiran,” katanya. -TVS