KUCHING, 9 Ogos: Penglibatan kakitangan awam dalam aktiviti sukan dan riadah dapat memupuk gaya hidup sihat selain akan turut meningkat mutu perkhidmatan mereka.
Setiausaha Agung Wisma Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-isteri (SABATI) Datin Enn Ong Siok Ean berkata, penyertaan dalam aktiviti sukan dan riadah bukan sahaja memberi peluang kepada kakitangan awam untuk mengenali satu sama lain malah akan turut mengukuhkan hubungan silaturahim antara mereka.
“Setiap bulan, Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota (MAKSAK) dan SABATI akan berkumpul untuk beriadah dan mengenali antara satu sama lain.
“Aktiviti ini amat menyeronokkan dan apa yang penting adalah kesejahteraan dan kesihatan kakitangan awam serta merapatkan hubungan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Program Hari Suri Beriadah anjuran SABATI dan Exco MAKSAK Wanita di Wisma SABATI, hari ini.
Program berkenaan turut dihadiri isteri Premier Sarawak yang juga Presiden SABATI, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Seramai 50 anggota MAKSAK dan SABATI menyertai program hari ini.
Sementara itu, Enn Ong Siok Ean memaklumkan, pihaknya juga mengadakan aktiviti amal.
“Ini merupakan salah satu usaha Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kami. Antara aktiviti yang dilakukan adalah menziarahi pesakit di hospital, menderma peralatan dan keperluan hospital serta menyantuni golongan yang kurang bernasib baik termasuk anak-anak PERYATIM.
“Selain itu, kami juga menderma bantuan kewangan dalam bentuk ‘ang pao’ dan sebagainya,” tambahnya lagi. – TVS