KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Penerjun muda yang sedang meningkat naik Bertrand Rhodict Lises bercita-cita untuk mencipta kejutan pada penampilan pertamanya dalam Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China bermula 23 Sept hingga 8 Okt ini.
Atlet berusia 18 tahun itu meletakkan sasaran peribadi untuk membawa pulang pingat dan menaiki podium di temasya sukan empat tahun sekali itu.
“Peluang pingat ada, tetapi kalau saya terus beri tekanan kepada diri sendiri susah nak lihat ia berlaku. Sudah tentu saya ingin naik podium sekurang-kurangnya menang gangsa atau perak, apa sahaja boleh berlaku.
“Seperti di (Kejohanan Akuatik Dunia 2023) Fukuoka, Jepun saya tak jangka pun dapat tempat ketiga di pusingan kelayakan, jadi kalau memang boleh dapat naik podium, kenapa tidak (dicuba)?,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad terjun di Pusat Akuatik Nasional di Bukit Jalil di sini baru-baru ini.
Pada Kejohanan Akuatik Dunia 2023 bulan lepas itu, Bertrand muncul atlet pertama Malaysia layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas menduduki tempat ke-10 pada saingan final 10 meter (m) platform lelaki.
Atlet kelahiran Sarawak itu memenangi pingat perak 10m platform lelaki pada Sukan SEA 2023 di Kemboja, Mei lepas yang menjadi pingat peribadi keduanya selepas membawa pulang gangsa 1m papan anjal pada Sukan SEA 2021 di Vietnam.
Mengenai penyertaan di Hangzhou, beliau menyasarkan untuk bertanding dalam acara 10m platform dan 10m platform seirama bergandingan dengan Enrique Harold.
Ketika ini, Bertrand giat menjalani latihan dan mencari rentak terjunan yang sempurna selepas meningkatkan darjah kesukaran sejak pulang dari Fukuoka.
“Darjah kesukaran kita tingkatkan untuk kedua-dua acara, kalau menjadi peluang menang pingat lagi tinggi tetapi kalau tidak sempat kita akan kekal dengan darjah yang sama di Fukuoka,” katanya yang menjangkakan saingan hebat daripada atlet tuan rumah, Jepun dan Korea Selatan di Hangzhou.
Menurutnya skuad terjun kebangsaan akan berangkat ke Sichuan, China minggu depan untuk menjalani latihan sebelum memulakan cabaran di Hangzhou.