KUCHING, 7 Ogos: Negara kehilangan seorang lagi wira apabila Mejar KM (B) Michael Riman Bugat yang terkenal dengan keberaniannya dalam beberapa siri pertempuran dengan komunis, meninggal dunia hari ini.
Facebook rasmi Divisyen Pertama Infantri Malaysia yang berkongsikan berita sedih itu memaklumkan mendiang yang berumur 71 tahun menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Umum Sarawak pada 9 pagi.
Cucu mendiang, Zafirah Othman ketika dihubungi TVS mengesahkan berita mengenai pemergian mendiang.
“Jasad mendiang akan ditempatkan di Dewan Suarah, Kuching pada Selasa untuk diberi penghormatan terakhir. Dua hari kemudian (Khamis), jasad mendiang akan disemadikan di Makam Pahlawan Kuching,” katanya.
Mendiang merupakan penerima beberapa pingat termasuk pingat Panglima Gagah Berani pada 6 Jun 1984.
Bermula sebagai rekrut Tentera Darat pada 22 Jun 1973, mendiang kemudiannya diserap masuk ke dalam kumpulan pertama Batalion Kelapan Rejimen Renjer Diraja (RRD) di Kem Terendak, Melaka dengan menyertai Platun Kilat atau Platun Ngalaban.
Mendiang terbabit dalam beberapa siri pertempuran bermula pada 9 Oktober 1976 di Kampung Serangan, Lundu, Sarawak dan pada 26 Disember 1977 di Gopeng, Perak.
Dalam kedua-dua operasi berkenaan, mendiang berjaya membunuh dua orang pengganas komunis.
Pada 1 Jun 1979, Platun Risik Gempur (UCIS) yang dianggotai oleh Kapten Michael dan diketuai oleh Sarjan Kanang Langkau berjaya menjejak kesan musuh sehingga bertembung dengan tempat rehat mereka.
Dalam pertempuran tersebut, mendiang menyerang dan merempuh tempat musuh.
Keberanian yang ditunjukkan oleh mendiang dan pasukannya berjaya membunuh lima orang pengganas komunis dengan pertempuran tersebut juga telah mengorbankan nyawa seorang anggota tentera dan mendiang sendiri mendapat kecederaan parah di bahagian lengan.
Mendiang dikurniakan pingat PGB pada 6 Jun 1984 dan pernah memikul tugas mengendalikan urusan logistik sebagai Kuarters Master (KM) di Rejimen 511 Askar Wataniah, Batu 7, Kuching.
Selain itu, mendiang juga pernah menyandang tugas yang sama di kem Bau disusuli Markas 1 Divisyen, Sekolah Tentera Darat di Ulu Tiram Johor dan Maktab Tentera Diraja Sungai Besi. – TVS