MUKAH, 7 Ogos: Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak hanya menjana kemahiran tetapi juga mampu melahirkan individu berpengetahuan luas dalam pelbagai bidang.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, bidang itu bukan sahaja semakin penting malah sangat relevan dengan perubahan masa.
Katanya, dengan adanya kemahiran teknikal pelajar bukan hanya boleh menceburi diri dalam perniagaan untuk meningkatkan ekonomi dan membina sumber pendapatan.
“Malah mereka berupaya menjadi ‘Jobs Creator’ tidak sekadar untuk diri sendiri tetapi juga membantu meningkatkan ekonomi orang lain juga dengan menawarkan peluang pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Karnival Pendidikan dan Kerjaya Pro-DR, di Dewan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Belawai, pada hari ini.
Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belawai berkata, di Sarawak, terdapat banyak cerita kejayaan dalam pendidikan yang memberikan harapan dan inspirasi kepada generasi muda.
Malah katanya, terdapat banyak individu yang melalui institut pendidikan tinggi (IPT) yang mengambil bidang teknikal telah mencapai kejayaan yang cemerlang.
“Sebagai contoh seorang anak Sarawak dari Kapit yang juga Alumni Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Franklin Lingga Abun yang mengambil jurusan Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan ditawarkan bekerja oleh BMW Group di Jerman.
“Stigma negatif terhadap TVET perlu dikikis,” katanya.- TVS