KUCHING, 7 Ogos: Malaysia menyaksikan lonjakan sebanyak 248.1 peratus dalam perbelanjaan pelancongan domestik pada 2022 iaitu perolehan perbelanjaan mencecah RM64.1 bilion berbanding RM18.4 bilion pada tahun sebelumnya.
Menurut Laporan Sosioekonomi Negeri 2022 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah pengunjung domestik di Malaysia juga meningkat sebanyak 160.1 peratus, mencecah rekod 171.6 juta pengunjung berbanding 66 juta pada tahun 2021.
Daripada jumlah itu, Sarawak merupakan penyumbang ketiga terbesar di Malaysia yang mencatatkan jumlah pengunjung paling ramai dengan 15.5 juta pengunjung.
Selangor menerima pengunjung paling ramai iaitu sebanyak 22 juta orang, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (16.9) dan Sarawak.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia dan peralihan ke fasa endemik pada 1 April 2022 telah memberi impak besar kepada landskap sosioekonomi negara.
“Pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia dan peralihan ke fasa endemik pada 1 April 2022 telah memberi impak besar kepada landskap sosioekonomi negara,” ujarnya menerusi kenyataan, hari ini.
Tambahnya lagi, industri pelancongan telah membantu mengukuhkan ekonomi negara dan telah berjaya melonjakkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 8.7 peratus.
Lima negeri merekodkan nilai KDNK per kapita melebihi paras nasional (RM54,785) iaitu W.P Kuala Lumpur, W.P Labuan, Sarawak, Pulau Pinang dan Selangor.
Sarawak turut merekodkan aktiviti pelaburan ketiga tertinggi dengan catatan sebanyak RM28.2 billion di belakang Johor dengan nilai pelaburan diluluskan sebanyak RM70.6 bilion dan Selangor (RM60.1 bilion).
Selain itu, peningkatan keluaran petroleum bertapis kepada 76.0 peratus turut mendorong kenaikan eksport bagi Sarawak, Johor dan W.P Kuala Lumpur dengan pertumbuhan masing-masing sebanyak 52.7 peratus, 35.2 peratus dan 4.5 peratus pada tahun 2022.
Terdahulu, DOSM turut mengeluarkan laporan bahawa Sarawak mencatatkan prestasi jumlah dagangan luar biasa pada tahun lepas sebanyak RM217.2 bilion, iaitu lonjakan tertinggi sebanyak 44 peratus dalam tempoh sedekad pada tahun lepas. – TVS