Ketua Pengarahnya, Datuk Zazuli Johan berkata, dalam serbuan kira-kira 8 malam itu, sepasukan anggota daripada Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM menyita empat unit kotak mengandungi 995 botol kaca yang di dalamnya terdapat kapsul disyaki kokain.
Katanya, hasil pemeriksaan juga menemukan alat ganti kenderaan iaitu cakera brek kereta dalam setiap kotak tersebut.
“Modus operandi bagi mengaburi pihak berkuasa adalah dengan mengikrarkan dagangan itu sebagai suplemen sedangkan di dalamnya terdapat botol kaca mengandungi dadah berbahaya dan alat ganti kenderaan.
“Ia kali pertama sindiket menggunakan modus operandi seumpama itu. Sindiket juga menggunakan nama syarikat palsu sebagai syarikat penerima dalam Air Waybill ( dokumen bagi penghantaran kargo udara),” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati dagangan tersebut dimport dari Belanda dan mendarat di Kompleks Kargo KLIA itu sebagai destinasi terakhir dengan bekalan dadah itu untuk pasaran dalam negara.
Zazuli berkata, siasatan turut mendapati pengimport menggunakan maklumat palsu dalam dokumen pengimportan hingga menyukarkan tangkapan dibuat.
“Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan untuk mengesan suspek yang dipercayai warga tempatan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, setakat Julai lepas, sebanyak 382 kes perolehan dadah di seluruh negara berjaya dikesan membabitkan nilai rampasan RM180.5 juta dengan ekstasi mencatat nilai tertinggi iaitu RM96.2 juta, kokain (RM61.6 juta) dan methamphetamine (RM10.5 juta).
Menurutnya, berdasarkan jumlah berat dadah yang diperoleh iaitu 19,996.4kg, dianggarkan seramai 440,000 penagih dapat diselamatkan.
Justeru, beliau menyeru orang awam memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dadah dan barangan lain seperti rokok, minuman keras dan mercun dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat Kastam terdekat dengan identiti mereka akan dirahsiakan. -TVS