SARIKEI, 6 Ogos: Kerajaan Sarawak komited memperkasakan potensi golongan belia negeri ini sejajar dengan hasrat mewujudkan kesejahteraan dan merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, ia sebahagian strategi bagi mengelak pembangunan wilayah yang tidak seimbang di samping memastikan generasi baharu itu tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.
Menurutnya, usaha penting itu termasuk dalam pelan jangka panjang selain berhasrat untuk mewujudkan pembangunan seimbang.
“Kestabilan terbukti berjaya membawa pembangunan yang berterusan untuk rakyat. Sudah pasti impian ini mampu direalisasikan atas sokongan anak muda yang menjadi penentu kejayaan program yang dirancang oleh kerajaan.
“Kita juga akan terus melaksanakan tanggungjawab dan amanah agar semua perancangan dilaksanakan dengan sempurna,” katanya menyempurnakan Majlis Perasmian Jelajah Genta Belia Peringkat Bahagian, di Tapak Downtown Kampung Seberang Sarikei pada Sabtu.
Beliau berkata, bagi memboleh pembangunan potensi belia luar bandar dilakukan dengan lebih holistik, akses kepada infrastruktur fizikal seperti jalan raya amat perlu selain teknologi digital.
Malah ujarnya, kesalinghubungan aspek fizikal dan digital tidak patut dipisahkan dalam konteks pembangunan belia luar bandar jika mahu menjadikan luar bandar, luar biasa.
Pada masa yang sama, kerajaan juga melaksanakan lonjakan terbaik dalam usaha memartabatkan golongan belia sarawak sekali gus menjadikan mereka sebagai generasi muda yang lebih berkarisma. – TVS