SIBU, 6 Ogos: Seorang wanita tempatan di sini mengalami kerugian RM67,650 dipercayai ditipu sindiket penipuan Love Scam melalui laman media sosial.
Mangsa yang bekerja sebagai Pengasuh Taman Asuhan terjerat selepas berkenalan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai James Huong di Facebook sekitar pertengahan tahun 2020.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, wanita berusia dalam lingkungan 50-an itu berkenalan dengan suspek yang kononnya dari Amerika Syarikat, bekerja sebagai arkitek dan mempunyai seorang anak yang masih kecil.
Katanya, suspek memberitahu mangsa akan datang ke Sibu untuk berjumpa dan berkahwin dengannya.
“Pada 27 Oktober lalu, mangsa diminta membantu membayar yuran persekolahan anak suspek di Amerika Syarikat kerana mendakwa masih bekerja di luar pesisir dan tidak dapat pulang ke Amerika Syarikat.
“Atas dasar cinta mangsa bersetuju memberikan RM7,000 kepada suspek dan dijanjikan akan dibayar balik kepadanya,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, suspek juga berjanji memberi hadiah berupa wang tunai mata wang Dolar US Dolar yang akan dipindahkan ke akaun mangsa sehingga membuatkan dia berasa teruja.
“Apabila mangsa membuat semakan akaun, dia mendapati tiada wang dimasukkan ke dalam akaunnya seperti yang dijanjikan.
“Suspek kemudian memberi alasan bahawa terdapat masalah dengan akaun tersebut dan dia perlu mendapatkan kebenaran Bank Negara untuk menerima Dolar US yang dimasukkan ke dalam akaunnya,” jelasnya.
Suspek seterusnya meminta mangsa untuk membuat pembayaran bagi membolehkan wang itu dipindahkan ke akaunnya.
Mangsa yang menuruti permintaan suspek telah membuat pembayaran secara berperingkat melalui 25 transaksi ke dalam tujuh akaun bank tempatan dari 11 Mei hingga 4 Ogos tahun ini.
“Mangsa hanya menyedari bahawa dia telah ditipu oleh suspek selepas diberitahu oleh seorang anak saudaranya sehingga tampil membuat laporan polis pada Sabtu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. -TVS