LIMBANG, 6 Ogos: Tindakan kerajaan menghentikan persembahan kumpulan The 1975 selepas melakukan perbuatan jelik dalam satu persembahan baru-baru ini satu keputusan tepat kerana ia jelas bertentangan dengan peradaban dan ketamadunan sebagaimana aspirasi Malaysia Madani.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, kejadian kurang sopan tersebut jelas mempromosikan budaya songsang yang dikhuatiri boleh mempengaruhi masyarakat dan golongan muda dengan ideologi golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).
Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang berkata, kumpulan muzik barat itu turut mencerca dan menghina undang-undang Malaysia yang jelas yang menolak LGBT.
“Mereka (kumpulan The 1975) telah mencerca, menghina undang-undang negara kita yang tidak membenarkan LGBT,” katanya ketika berucap pada Malam Kebudayaan Majlis Makan Tahun Perdana, 2023 di Dewan Kampung Pabahanan, Limbang malam tadi.
Hasbi berkata, budaya barat yang jelas bertentangan dengan norma budaya masyarakat di Malaysia ini perlu disekat daripada menular ke negara ini.
“Ini kebudayaan baharu dari luar yang masuk tempat kita bukan lagi secara perlahan-perlahan tetapi secara terang-terangan, kita perlu pastikan di mana anak-anak kita,” katanya lagi.
Jelas Hasbi lagi jika budaya barat ini tidak disekat, ia dikhuatiri boleh mempengaruhi nilai budaya di Malaysia khususnya pemikiran generasi muda.
“Budaya barat ini boleh menghakis budaya kita, jadi apa nak jadi dengan generasi kita, macam mana kita akan mempertahankan dan mempastikan supaya generasi muda kita minat akan budaya sendiri,” tambahnya.
Baru-baru ini persembahan kumpulan The 1975 di Good Vibes Festival 2023 dihentikan selepas vokalisnya, Matty Healy menunjukkan pelbagai aksi kurang sopan di hadapan peminat.
Beliau didakwa memegang botol arak ketika berada di atas pentas selain membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan LGBT. – TVS