Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Suasana Kuching Street Parade 2023 yang berlangsung meriah malam tadi. Foto: Faitullah Morni (TVS)

Kuching Street Parade 2023 meriah, berlangsung dalam suasana harmoni

ByIzzah Kamilah Yunus

KUCHING, 6 Ogos: Kuching Street Parade 2003 berlangsung dalam suasana yang cukup meriah dan harmoni dengan kehadiran ribuan warga bandaraya Kuching bagi sama-sama menyaksikan perarakan yang diadakan malam tadi.

Perarakan itu juga merupakan salah satu acara yang tersenarai dalam Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka dengan penyertaan sebanyak 60 kontinjen membabitkan 2,400 orang peserta.

Meskipun baharu pertama kali melihat perarakan tersebut secara langsung, rata-rata pengunjung meluahkan kegembiraan mereka ketika ditemui TVS.

Seorang pesara, Shazali Junaidi, 59, berkata acara tersebut bukan sahaja berjalan lancar untuk disaksikan warga Kuching, malah pengunjung dari luar dan dalam negara.

“Saya pasti akan menghadiri perarakan ini pada tahun hadapan dan seterusnya. Melalui penyertaan kanak-kanak dalam perarakan ini, saya melihat ia secara tidak langsung dapat memberi didikan kepada mereka.

“Pendedahan ini mampu memupuk rasa minat kepada anak kecil yang lain selain mengajar erti kemerdekaan kepada mereka,” katanya.

Bagi pengawal keselamatan, Junaidi Serudin, 36, acara ini merupakan acara yang terbaik yang diadakan dalam negeri Sarawak dan berharap boleh menyertai perarakan ini di masa hadapan.

“Acara ini memberi kegembiraan kepada semua golongan termasuk golongan muda. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan semua warga Sarawak kerana menyemarakkan suasana di kawasan ini,” katanya.

Datang dari Kedah, pegawai tentera, Muhammad Nazmi Bahador, 34, tidak melepaskan peluang untuk melihat perarakan ini secara langsung juga menyatakan niatnya untuk menyertai lagi perarakan ini.

“Ia merupakan antara perarakan yang menarik pernah saya lihat dan kalau boleh saya ingin melihat perarakan seperti ini setiap hari,” katanya.

Kuching Street Parade 2023 ini bukan sahaja menarik pelancong dalam negara, malah penyertaan pelancong dari luar negara juga dilihat menyaksikan perarakan ini.

Antonella Cutrona, seorang pelancong dari Itali yang mendapat tahu mengenai perarakan ini pada saat akhir ketika ditemui tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya apabila ditanya mengenai acara ini.

“Ini merupakan malam terakhir kami di Kuching sebelum bertolak ke Semenanjung Malaysia dan kami sungguh bertuah dapat melihat perarakan ini. Jadi saya ingin berterima kasih kepada Kuching atas peluang yang diberikan ini.

“Jika ada kesempatan saya pasti akan datang ke Kuching lagi dan saya sangat menyarankan kawan dan keluarga saya untuk datang ke sini,” katanya.

Travilion Commercial Centre dijadikan titik permulaan bagi para kontinjen memulakan perarakan setelah acara ‘flag off’ yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Kreatif Industri dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting diiringi Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng pada jam 6 petang.

Kontinjen yang mengambil bahagian seterusnya melakukan lintas hormat dan persembahan di kawasan Hotel Hilton yang merupakan pentas utama bagi acara tersebut yang disaksikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada jam 8.30 malam.

Perarakan disambung ke Square Tower untuk ‘pocket show’ sehingga Bangunan Pos Laju Jalan Tun Haji Openg sebagai titik tamat perarakan sejauh 2.5 kilometer itu, dan sejurus tamat perarakan kemeriahan bandaraya Kuching sekali lagi diwarnai dengan persembahan bunga api.

Antara kontinjen yang terlibat ialah Komuniti Kejiranan Mesra, Kawasan Rukun Tetangga, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Kumpulan Pancaragam Sekolah Menengah, Institut Pengajian Tinggi, Antarabangsa dan Terbuka.– TVS

Berita Berkaitan

No data was found

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan

No data was found