BEKENU, 6 Ogos: Klinik Kesihatan di Sungai Asap dan Long San setakat ini dalam perancangan di peringkat reka bentuk bersama pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS).
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, ia bagi memastikan klinik tersebut dapat memuatkan katil dan pesakit supaya tidak berlaku kesesakan pada masa akan datang dan memenuhi keperluan pesakit.
“Kita sedang merancang dan melihat reka bentuk Klinik Kesihatan Sungai Asap yang boleh memuatkan pesakit ataupun katil. Pihak JKNS akan membuat pembentangan komprehensif kepada saya kerana kita melihat ada keperluan dan lokasi Long San.
“Kita mempunyai perancangan untuk membina konsep klinik kesihatan komprehensif yang mempunyai katil untuk pesakit masuk ke klinik tersebut,” katanya semasa Karnival Kesihatan Komuniti Sibuti di Dewan Masyarakat Bekenu, pada Ahad.
Ini bagi mencapai matlamat kementerian beliau untuk memenuhi keperluan setiap daerah yang mempunyai sekurang-kurangnya sebuah Klinik Kesihatan yang komprehensif kepada masyarakat.
Sementara itu, Lukanisman berkata, Klinik Kesihatan Sepupok akan mula dibina pada tahun 2024 yang merupakan klinik kesihatan jenis tiga (KK3) dengan kuarters kediaman.
“Klinik Sepupok telah diluluskan di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk ‘rolling planning’ ketiga. Kita akan memulakan kerja awal dan tanah telah dimiliki oleh KKM.
“Bermula pada tahun 2024, kita akan ‘roll out’ pembinaan KK3 iaitu klinik komprehensif. Maksudnya banyak perkhidmatan hampir sama seperti klinik kesihatan jenis dua di Miri cuma, saiznya kecil.
“Klinik tersebut akan memuatkan kuarters kediaman dan merupakan perancangan Projek Rancangan Malaysia yang besar untuk kawasan Parlimen Sibuti yang telah diluluskan dalam belanjawan,” ujarnya.
Selain pembangunan dan menaik taraf klinik, pihak kerajaan juga memberi saringan kesihatan percuma komprehensif kepada penerima Bantuan Rahmah dan Skim mySalam yang berbentuk insurans takaful perlindungan kesihatan percuma untuk membantu golongan B40 dan M40 di bawah 40 tahun.
Terdapat juga perancangan untuk menganjurkan program Madani Afiat yang telah diadakan di Semenanjung sebelum ini untuk diadakan di Sarawak setelah mendapat persetujuan daripada Premier. –TVS