Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Nancy Shukri bergambar bersama peserta Program Keusahawanan Wanita Bangkit @ KPWKM di Siburan hari ini. Foto: TVS

Kajian semula senarai e-kasih, pastikan yang benar-benar layak disenarai – Nancy

SIBURAN, 6 Ogos: Kajian semula senarai e-kasih penting bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak berada dalam senarai berkenaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sistem e-kasih yang dilaksanakan oleh kerajaan merupakan platform yang diperlukan untuk membolehkan mereka yang disenaraikan dalam sistem tersebut memohon dan mendapatkan bantuan daripada kerajaan.

Justeru katanya, kajian semula yang dilakukan oleh Kerajaan Sarawak terhadap senarai penerima e-kasih di negeri itu sesuatu yang penting kerana ia akan memberikan situasi sebenar di Sarawak.

Bagaimanapun, menurutnya, bagi KPKWM, tidak akan terlibat dalam kajian semula sistem berkenaan memandangkan pelaksanaan sistem tersebut berada di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi.

“Sebenarnya kita menerima berdasarkan data-data yang dihantar kepada kita serta yang memohon juga dan kriterianya bergantung kepada apa yang ditentukan oleh Kementerian Ekonomi kerana e-kasih di bawah bidang kuasa mereka.

“Namun apa yang kita terima ialah apa yang dipersetujui yang patut diberikan bantuan, jadi ia bergantung kepada keadaan nanti,” katanya selepas merasmikan Program Keusahawan Wanita Bangkit @KPWKM Sarawak di sini, hari ini.

Nancy berkata, walaupun kementeriannya ada menerima pemohonan bagi sistem berkenaan namun ia tidak boleh diputuskan secara bersendirian memandangkan ia turut melibatkan agensi dari kementerian lain.

Pada masa sama ia bertujuan untuk mengelak berlaku pertindihan data-data dan membentuk satu sistem yang standard untuk dijadikan rujukan semua pihak terlibat.

“Mereka (Kementerian Ekonomi) menyedari perkara itu dan kami sebagai kementerian yang melaksanakan apa yang telah ditetapkan dalam sistem tersebut,” katanya.

Baru-baru ini, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberitahu akan melakukan kajian semula terhadap senarai penerima e-kasih di Sarawak.

Ia kerana senarai yang digunakan sebelum ini tidak memberikan gambaran sebenar situasi rakyat di negeri itu memandangkan ia dinilai berdasarkan kedudukan kewangan penerima.

Sebaliknya, kajian semula itu akan menggunakan kaedah baharu iaitu berdasarkan jumlah aset keseluruhan dan kedudukan kewangan yang dimiliki oleh mereka yang disenaraikan dalam sistem tersebut. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan