MIRI, 5 Ogos: Stigma masyarakat terhadap HIV/AIDS menyukarkan Orang Yang Hidup Dengan HIV/AIDS (ODHA) untuk menjalani kehidupan seharian.
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, dalam usaha memberi kesaksamaan kepada golongan ODHA, perkhidmatan rawatan dan ujian pencegahan HIV akan dipertingkatkan menjadi mesra komuniti.
“Untuk makluman, penghalang terbesar yang memberi kesan kepada kehidupan ODHA stigma dan diskriminasi termasuk juga ketidaksamaan.
“Justeru bagi memastikan kesaksamaan terus tercapai, ketersediaan dan kesesuaian perkhidmatan rawatan dan ujian pencegahan HIV perlu dipertingkatkan serta mesra komuniti,” katanya semasa Majlis Pelancaran Teratak Kasih Tok Nan Cawangan Miri di Jalan Hokkien Miri pada Sabtu.
Lukanisman menasihatkan kepada orang ramai untuk mengubah tanggapan negatif terhadap golongan ODHA sebaliknya membantu mereka mendapatkan rawatan sewajarnya.
“Oleh itu, saya menyarankan agar masyarakat mengubah tanggapan negatif kepada golongan ODHA supaya mereka berani tampil ke hadapan untuk mendapatkan rawatan.
“Sekiranya persepsi negatif ini masih berterusan, risiko penyebaran virus ini sukar dibendung,” tegas beliau.
Untuk rekod, Teratak Kasih Tok Nan merupakan sebuah kerjasama tiga hala yang melibatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Yayasan AIDS Malaysia dan Yayasan Sime Darby yang dikenali sebagai ‘Tripartite HIV Intervention Programme’ (THIP) bagi menyokong program pencegahan dan rawatan HIV dan AIDS di bawah modaliti ‘Differentiated HIV Services for Key Populations’ (DHSKP).
Kemuncak majlis ini adalah upacara penyerahan sumbangan cek berjumlah RM1.5 juta oleh oleh Yayasan Sime Darby kepada Yayasan AIDS Malaysia. – TVS