KUCHING, 5 Ogos: Langkah pemodenan sistem pengangkutan awam Sarawak direalisaskan dengan ketibaan Transit Aliran Autonomi (ART) hidrogen di Terminal Senari di sini, hari ini.
Menurut Pengerusi Sarawak Metro Sdn Bhd, Tan Sri Abdul Aziz Husain, penghantaran unit prototaip dari China itu terdiri daripada tiga set dengan aksesori yang akan dipasang sebelum menjalani Ujian Kejuruteraan dan Bukti Latihan Konsep (POC).
“Setibanya di Kuching, prototaip ART akan dipasang di sebuah gudang di Terminal Senari dengan pemasangan dijangka siap dalam tempoh dua minggu.
“Kerja-kerja pemasangan termasuk memasang lorong yang akan dijalankan oleh krew teknikal dari CRRC Zhuzhou Institute Co.Ltd bersama-sama jurutera dan juruteknik dari Sarawak Metro Sdn Bhd.
“Setelah siap dipasang, ART akan menjalani ujian kejuruteraan selama dua bulan, bermula 1 September depan,” katanya ketika hadir menyaksikan ketibaan prototaip ART di Terminal Senari, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ujian kejuruteraan itu penting bagi pihaknya memperhalusi spesifikasi ART dan juga untuk mengenal pasti sebarang isu yang berpotensi berlaku sebelum memulakan latihan POC.
“Ujian kejuruteraan akan dijalankan di kawasan Isthmus Kuching, manakala latihan POC akan diadakan pada bulan November di sepanjang laluan lebuh raya Kuching-Samarahan.
“Tapak untuk latihan POC adalah sepanjang tiga kilometer (KM) yang dibina di antara dua bulatan yang telah ditukar menjadi persimpangan lampu isyarat pintar.
“Latihan POC adalah untuk kami mengumpul data untuk menilai kebolehlaksanaan prototaip untuk reka bentuk akhir,” ujarnya.
Sementara itu, mengulas mengenai ketibaan prototaip ART hari ini, beliau menyifatkan ia merupakan detik bersejarah yang memperlihatkan satu lagi kejayaan bagi Sarawak yang semakin hampir dalam merealisasikan Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) yang dibangunkan untuk memodenkan pengangkutan awam.
Antara yang turut hadir menyaksikan ketibaan prototaip itu ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel – TVS