Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Kesihatan Mental Sarawak Ke-6 Tahun 2023 di Kuching. Foto: TVS

MA63: Sarawak tekankan perkhidmatan kesihatan berkualiti kepada rakyat – Abang Johari

KUCHING, 5 Ogos: Kerajaan Sarawak kini dalam perbincangan bersama Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan semula hak autonomi yang terhakis menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menekankan kepentingan menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti kepada rakyat, menegaskan hak mereka untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut.

“Walau apa pun, tidak ada perbezaan antara kesihatan awam dan kesihatan di bawah Kerajaan Persekutuan dan itulah sebabnya di bawah perbincangan MA63, kita mahukan autonomi tertentu dan pendekatan bersepadu untuk kita menyelesaikan masalah kesihatan rakyat.

“Kesihatan rakyat juga penting, begitu juga dengan negara. Oleh itu, Kerajaan Sarawak sedang berunding untuk menaik taraf semua infrastruktur kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Kesihatan Mental Sarawak Ke-6 Tahun 2023 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Beliau berkata, pentadbiran di bawah pimpinannya mahu memberi penekanan yang adil antara pembangunan ekonomi dan juga kebajikan rakyat.

Katanya, Kerajaan Sarawak sedang giat untuk membina Pusat Kanser Sarawak, Pusat Penyelidikan Penyakit Tropika Sarawak dan Pusat Perubatan Prima dan Hospital Pengajar UNIMAS yang terletak di Kota Samarahan dan seterusnya menjadikannya sebagai Koridor Metropolis Kesihatan Sarawak.

“Sebagai contoh apabila Pusat Kanser Sarawak sudah dibangunkan di Kota Samarahan, kita tidak perlu menghantar pesakit kita ke Kuala Lumpur kerana kita akan mempunyai ketersambungan atau sebuah pusat khusus di sini yang mana kos rawatannya jauh murah untuk mendapatkan rawatan.

“Kerajaan Persekutuan memberitahu mereka tidak cukup dana (untuk membina Pusat Kanser Sarawak) tetapi saya cakap tidak mengapa Sarawak akan bayar dahulu dan mereka boleh bayar kemudian dan mengikut kiraan awal, sebanyak RM1.2 bilion diperlukan,” katanya lagi.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Premier Sarawak juga merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan Pengarah Hospital Sentosa, Dr Rosliwati Md Yusoff.

Pada 3 Mac lalu, Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian yakin Kota Samarahan menjadi hab perubatan penting bagi negeri ini pada masa akan datang kerana koridor itu akan mewujudkan sebuah ekosistem terbaik untuk pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seperti Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak menyumbang kepada keperluan kesihatan semasa. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan