IPOH, 5 Ogos: Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya terbabas selepas mengalami serangan jantung di Jalan Kampung Lambak dekat Tanjung Malim, hari ini.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam pada 8.40 pagi memaklumkan sebuah kereta jenis Toyota Camry merempuh tembok sebuah kuil.
Beliau berkata, mangsa, Lok Ming Choy, 55, yang beralamat di Taman Kampar, di sini disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung selepas bedah siasat dilakukan.
“Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kereta dipandu mangsa dari arah Kampung Lambak menghala ke Pekan Tanjung Malim telah hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan sebelah kanan dan merempuh tembok kuil.
“Akibat rempuhan tersebut, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dan menambah kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – TVS