KUCHING, 5 Ogos: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) sedia bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak dalam rancangannya menjadikan Kampung Santubong sebagai Pusat Arkeologi.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pihaknya menerusi Jabatan Muzium Negara sentiasa menyokong penuh usaha menyuburkan semula tapak warisan termasuklah Santubong yang mempunyai peninggalan sejarah berusia lebih 1,000 tahun.
“Sebab di sini banyak sejarah lama dan tamadun penduduk tempatan yang kita perlu pelihara, kita difahamkan ada tiga tapak warisan arkeologi di kawasan Santubong ini yang sekarang dipelihara Jabatan Muzium Sarawak.
“Sudah tentu kita di jabatan muzium peringkat persekutuan sama-sama terlibat dalam usaha untuk mengekalkan sejarah ini menjadi warisan kita selama-lamanya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Program Bersama Komuniti, Berambeh di Santubong, dekat sini, hari ini.
Untuk makluman, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Muzium Sarawak sedang membangunkan tiga tapak warisan berdekatan Kampung Santubong iaitu Taman Arkeologi Sungai Jaong, Taman Arkeologi Bongkissam dan Bukit Maras serta Pusat Wallace. -TVS