Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta dif kenamaan lain bergambar bersama kakitangan perubatan pada Majlis Perasmian Persidangan Kesihatan Mental Sarawak Ke-6 Tahun 2023 di sebuah hotel di Kuching, hari ini. Foto: Muqri Aziz (TVS)

Infrastruktur Hospital Sentosa perlu ditingkatkan segera – Abang Johari

ByMuqri Aziz

KUCHING, 5 Ogos: Infrastruktur Hospital Sentosa yang merupakan satu-satunya institusi mental di Sarawak yang telah diwartakan sebagai perkhidmatan forensik perlu ditingkatkan dengan kadar segera.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini kerana rata-rata kes di bawah majistret diperintahkan untuk membuat penilaian mental di hospital berkenaan.

“Penetapan infrastruktur forensik hendaklah selamat dan dilindungi. Oleh itu, perluasan perkhidmatan dan menaik taraf infrastruktur perlu diberi perhatian segera Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Kesihatan Mental Sarawak Ke-6 Tahun 2023 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak juga merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan Pengarah Hospital Sentosa, Dr Rosliwati Md Yusoff.

Pada masa sama, beliau berkata, Rumah Jagaan Psikiatri boleh ditubuhkan bagi menampung gelandangan dengan penyakit psikiatri yang stabil, berdikari dan bekerja atau tidak dapat sebarang pekerjaan untuk mewujudkan rasa keberadaan dalam komuniti dan memberi pemerkasaan yang juga memberi autonomi kepada mereka.

“Rumah Jagaan Psikiatri boleh ditubuhkan di Sarawak sebagai perintis bagi Sarawak. Ia adalah untuk memenuhi keperluan gelandangan dengan penyakit psikiatri (tiada ahli keluarga yang boleh dikesan) yang stabil, berdikari dan bekerja serta tidak dapat bekerja.

”Perkhidmatan psikiatri tidak boleh berdiri sendiri di mana kebanyakan kes dikaitkan dengan isu sosial dan ia adalah pelbagai faktor. Untuk mencapai kejayaan itu, kita memerlukan kerjasama dengan agensi lain iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak serta Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak,” ujarnya.

Abang Johari juga meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000 kepada Hospital Sentosa untuk tujuan aktiviti pemulihan di hospital.

Persidangan yang bermula sejak semalam hingga esok bertemakan ‘Diversifying Mental Health Specialities in Borneo’ yang telah tergendala penganjurannya akibat penularan wabak COVID-19 itu bertujuan untuk perkongsian ilmu dan pengalaman dalam subkepakaran pskiatri dan juga perkongsian daripada organisasi bukan kerajaan.

Abang Johari juga berharap semua lebih 150 delegasi yang hadir itu terus bersatu dalam mewujudkan kesedaran yang kuat mengenai isu kesihatan mental dan tingkah laku mencari bantuan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan