KUCHING, 5 Ogos : Ikon K-Pop dan bintang filem, Jung Ji-hoon atau lebih dikenali sebagai Rain meraih penghargaan pada Malam Gala Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN menerusi Anugerah Inspirasi ASEAN.
AIFFA 2023 memberi penghargaan kepada Rain atas keupayaannya menjadi sumber inspirasi kepada penggiat industri kreatif di ASEAN dalam berkarya sehingga memberi impak di peringkat global.
Dalam ucapannya, Rain, 41, meluahkan rasa teruja dan bersyukur di atas penghargaan tersebut.
“Terima kasih kepada peminat, pihak AIFFA dan juga Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah. Saya sangat gembira berada di sini dan ini satu penghormatan bagi saya.
“Malam ini adalah malam istimewa kerana dapat bersama-sama dengan anda semua. Terima kasih kerana menjemput saya,” katanya.
Anugerah tersebut disampaikan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Rain merupakan penyanyi, pelakon dan penulis lagu dan penari telah merekodkan tujuh album, 28 buah lagu dan telah membuat beberapa jelajah konsert di serata dunia.
Beliau mula berlakon dalam filem Bahasa Inggeris menerusi filem Speed Racer dan mula berlakon dalam filem aksi menerusi filem Ninja Assassin pada tahun 2009.
Selain itu, beliau juga pernah memenangi beberapa anugerah berprestij antaranya enam Anugerah Muzik Mnet, tiga Golden Disc Awards, dua Anugerah Baeksang dan juga pernah tersenarai sebagai 100 Korean Leader Entertainment Industry serta 100 Orang Paling Berpengaruh di Dunia pada tahun 2006 dan 2011. -TVS