KUCHING, 5 Ogos: Amalan normalisasi salah laku rasuah perlu dihentikan agar tidak menjejaskan masa depan sesebuah negara, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya.
Beliau menjelaskan gejala tersebut jika tidak ditangani dengan penglibatan semua pihak, ia akan memberi kesan negatif serta mampu meruntuhkan negara.
“Jika negeri atau negara ini hancur, adakah kita mahu hidup di dalam sebuah negara yang hancur, oleh sebab itu para belia merupakan pewaris masa depan negara.
“Sebab itu, bahaya budaya normalisasi ini kerana ia akan meruntuhkan masa depan sesebuah negara,” katanya ketika berucap pada Kolokium Integriti Belia Sarawak 2023 di Hotel UCSI di sini, hari ini.
Mengulas lanjut kata Dr Juanda, setiap kesalahan rasuah harus dikenakan tindakan undang-undang tanpa mengira status individu terlibat.
“Salah tetap salah, undang-undang mesti dilaksanakan dan tidak ada kasta, seperti yang berlaku kepada kaum Bani Israel yang ditipu oleh firaun sedangkan mereka adalah golongan bijak pandai tetapi tidak berani menegur perkara yang tidak betul,” tegasnya.
Justeru, pentingnya laporan dibuat jika terdapat salah laku rasuah sama ada di peringkat akar umbi mahupun di tahap tertinggi.
“Jangan takut membuat laporan kepada agensi berkaitan bagi menjalankan siasatan lanjut. Jika benar ada unsur (rasuah) buat laporan, kalau perlu lapor sila lapor, cuma jangan lapor di media sosial kerana tiada apa yang dapat dilakukan.
“Tidak salah untuk membuat laporan salah laku dan sebagainya kepada SPRM khususnya, mereka akan turun padang menjalankan siasatan, jangan kita hanya suka kepada spekulasi yang berunsurkan fitnah dan perkara tidak benar,” jelasnya.
Dalam pada itu, lebih 300 peserta daripada golongan belia hadir ke program yang dianjurkan bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sarawak dengan kerjasama Unit Integriti dan Ombudsman Negeri Sarawak (UNIONS) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak. -TVS