Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Mohd Zikri Mohd Shairy dan Alan Hua Foung Wei ketika sidang media selepas sesi taklimat di Biddy’s Cafe. Foto: TVS

Bank Islam dan FDS jalin kerjasama bantu perkasa usahawan mikro Sarawak

KUCHING, 5 Ogos: Bank Islam Malaysia Berhad memperluaskan akses program pembiayaan mikro iTekad kepada petani dan usahawan tempatan menerusi kerjasama dengan Farm Direct Shop (FDS) iaitu sebuah perusahaan sosial tempatan.

Penolong Pengurus Besar, Bahagian Rangkuman Kewangan Kumpulan Bank Islam, Mohd Zikri Mohd Shairy berkata, tawaran bantuan pembiayaan ini adalah satu inisiatif bagi membantu usahawan mendapatkan pembiayaan pinjaman dalam tempoh yang disediakan beserta bimbingan.

Mohd Zikri Mohd Shairy bersama wakil-wakil daripada FDS. Foto: TVS

“Kita melihat kepada cabaran yang dihadapi usahawan terutamanya kelompok ‘underbank’ yang masih lagi belum layak untuk mendapat pinjaman dan pembiayaan patut disantuni dan diberikan nasihat selain tawaran yang ada.

“Apa yang kami tawarkan ialah pembiayaan mikro kepada kelompok usahawan ini yang bukan semata-mata pinjaman dan pembiayaan sahaja. Malah mereka akan diberi bimbingan yang berterusan selama tiga atau lima tahun bergantung pada tempoh duit pinjaman dan pembiayaan,” katanya ketika ditemui TVS pada sesi libat urus di Biddy’s Cafe di sini, hari ini.

Wakil daripada pihak Bank Islam dan FDS yang hadir ketika sesi libat urus bagi menjalinkan kerjasama membantu memperkasa usahawan mikro Sarawak. Foto: TVS

Tambahnya, dengan kejayaan tawaran bantuan pembiayaan yang terdahulu, mereka mensasarkan pada tahun ini sekurangnya 50 orang lagi usahawan mikro di Sarawak dapat dihasilkan.

“Kita telah membantu lebih daripada 600 usahawan yang berjumlah RM11 juta pembiayaan mikro sekali gus kami yakin program ini dapat mengembangkan usahawan mikro di Sarawak.

“Selain itu, kita dapat bantu melalui Program iTekad yang kita sasarkan sehingga hujung tahun ini dan dapat melahirkan sekurang-kurangnya 50 usahawan mikro di Sarawak sama ada melalui pihak FDS ataupun pihak lain yang bekerjasama dengan kita,” tegasnya.

Untuk rekod FDS merupakan sebuah platform yang memudahkan urusan jualan secara terus kepada pengguna dengan mempamerkan hasil dan produk mereka serta menyediakan perkhidmatan pemasaran untuk item tersebut melalui kedainya dan saluran WhatsApp.

Sementara itu, pemilik bersama FDS yang juga merangkap Setiausaha Agung Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Sarawak, Alan Hua Foung Wei menyambut baik kerjasama yang dijalinkan dan berharap dapat diteruskan pada masa akan datang.

“Sekarang, FDS mempunyai 408 pembekal dan hari ini peserta boleh belajar cara untuk memulakan syarikat mereka sendiri serta mendapat gambaran perniagaan sekurang-kurangnya tiga hingga lima tahun.

“Hari ini merupakan permulaan bagi usaha dan kerjasama pertama kami, malah kami menanti lebih banyak peluang di masa hadapan,” katanya.

Bank Islam mempunyai dua program iTekad – iTekad bangkit dan iTekad maju yang tersedia di seluruh negara untuk membantu mereka yang kurang mendapat akses perbankan dan perusahaan yang dimiliki oleh golongan B40.

Selain itu, Program iTekad direka bertujuan untuk memperkasakan usahawan mikro yang layak, termasuk petani, untuk mencapai daya tahan kewangan, menjana pendapatan berterusan dan mewujudkan rantaian nilai mampan yang akan memberi manfaat kepada masyarakat. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan