Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Lukanisman Awang Sauni mendengar penerangan daripada kontraktor mengenai perkembangan projek pembinaan Klinik Kesihatan Siburan yang baharu pada Jumaat. Foto: TVS.

Baik pulih 36 klinik daif di Sarawak siap hujung 2023

KUCHING, 4 Ogos: Pelaksanaan projek baik pulih membabitkan 36 klinik yang dikategorikan sebagai daif di Sarawak dijangka siap sepenuhnya pada hujung tahun ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata setakat ini sebanyak enam klinik berjaya disiapkan di bawah Program Bitara Madani manakala bakinya dijadualkan siap menjelang Disember tahun ini.

“Ketika ini kita ada enam projek yang sudah siap sepenuhnya dan selebihnya sedang dalam proses pra pelaksanaan, maksudnya menjelang Disember 2023 kita yakin semua projek baik pulih klinik daif akan siap,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan tapak Klinik Kesihatan Siburan baharu di sini pada Jumaat.

Dalam masa sama, beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menambah senarai klinik daif untuk dilaksanakan projek sama bagi 2024.

“Ini adalah jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana beliau ingin melihat kejayaan pelaksanaan projek pada tahun ini.

“Ia untuk memastikan sama ada peruntukan akan ditambah atau dikekalkan bagi meneruskan Bitara Madani,” katanya.

Menurut Lukanisman, setakat ini hampir 1,200 klinik yang dikategori daif perlu dibaik pulih di seluruh Malaysia.

Mengulas mengenai perkembangan pembinaan baharu Klinik Kesihatan Siburan, beliau berkata ia akan siap sepenuhnya pada Oktober ini dan dijangka mula beroperasi pada 2024. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan