SEBUYAU, 5 Ogos: Program 2 Years Exit Program (2YEP) yang bermatlamat membantu meningkatkan pendapatan golongan miskin berupaya menjadi kaedah untuk mengeluarkan penerima bantuan e-Kasih keluar daripada senarai terbabit.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Nancy Shukri berkata, menerusi program tersebut golongan itu dibimbing untuk memperkembangkan potensi dan kemahiran mereka untuk dijadikan sebagai sumber pendapatan.
Katanya, peserta program terbabit kemudiannya akan diberikan geran pelancaran sebanyak RM2,700 untuk memulakan peniagaan atau projek ekonomi lain dengan bantuan serta sokongan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama jabatan serta agensi kerajaan lain secara berterusan.
“Di sini kita akan memantau sehingga dua tahun, sudah berjaya dari segi melepaskan diri daripada menerima kebajikan dan dapat menolong orang lain.
“Jadi ini adalah cara kita untuk mengurangkan mereka dalam golongan e-Kasih itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Keusahawanan Wanita Bangkit @ KPWKM Sarawak di sini, hari ini.
Beliau berkata, sehingga Ogos tahun ini, seramai 4,317 orang perserta menyertai program tersebut di Sarawak melibatkan peruntukan berjumlah RM2.1 juta.
Katanya, insentif berjumlah RM500 secara ‘one-off’ diberikan untuk membantu golongan wanita menjana pendapatan melalui bidang keusahawanan dengan menfokuskan kepada produk-produk kecil tempatan.
Inisiatif tersebut jelasnya, sedikit sebanyak membantu dalam usaha kerajaan dalam mengurang jumlah senarai penerima dalam sistem e-Kasih.
“Walaupun ini tidaklah ia bermakna mencukupi untuk orang itu senang tetapi apa yang penting orang itu dapat melihat kemampuan diri,” katanya. -TVS