KOTA SAMARAHAN, 4 Ogos: Pusat Digital Tun Abang Haji Openg (TAHODC), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berpotensi menjadi pemangkin transformasi pendidikan tinggi ke arah melahirkan siswazah berkemahiran dalam bidang berkaitan dengan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata transformasi ini akan melibatkan pengwujudan kursus-kursus khas yang memenuhi komponen penting dalam proses pembangunan ekonomi Sarawak.
“Kita memerlukan penganalisis data sebab data adalah sumber yang kini boleh menghasilkan produk-produk baru.
“Kedua kita harus memikirkan hal keselamatan siber dan di sini (TAHODC), kita boleh didik pelajar-pelajar untuk menjadi pakar dalam hal ini kerana ia sangat penting supaya kita dapat mencipta aplikasi di masa hadapan dengan selamat.
“Kita berkehendakkan lebih ramai lagi membuat penyelidikan dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) supaya ia dapat digunakan untuk membuat kajian data kita yang lebih menjurus ke arah biodiversiti kita,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran TAHODC, UNIMAS, di sini hari ini.
Tambahnya, teknologi terkini AI masih lagi memerlukan pengawasan daripada manusia kerana ia tidak mempunyai pemikiran dan akal untuk memproses maklumat tertentu.
Sebagai contoh, beliau menyatakan kelemahan ChatGPT yang hanya dapat membuat terjemahan langsung tanpa memahami konteks ayat.
Dalam pada itu, Abang Johari menegaskan bahawa tiga bidang kemahiran utama diperlukan dalam usaha memacu sasaran kerajaan Sarawak mencapai status negeri maju menjelang 2030.
Menurutnya, kerajaan memerlukan generasi muda yang berkemahiran tinggi dalam bidang penganalisis data, pakar keselamatan siber dan kemahiran robotik.
Penganalisis data amat diperlukan pada masa kini bagi mendapatkan semula semua maklumat sebelum ini untuk mencipta produk baharu.
“Manakala pakar keselamatan siber membolehkan data negeri kita dilindungi daripada penggodam ataupun bocor.
“Kemahiran robotik turut diperlukan bagi mentafsir data yang telah dianalisis sebelum dikeluarkan untuk menjadi satu produk yang baharu,” katanya.
Hadir sama, isteri kepada Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS Tan Sri Sulong Matjeraie dan Naib Canselor UNIMAS Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi. – TVS