KUALA LUMPUR, 4 Ogos: Malaysia dan Brunei menyambut baik pembukaan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak (STATO) di Bandar Seri Begawan, Brunei akhir tahun ini, yang akan mengukuhkan lagi kerjasama pelancongan antara Brunei dan Sarawak.
Menurut kenyataan bersama mengenai Rundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei ke-24, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, menyuarakan rasa gembira dengan kemajuan yang dicapai bagi meneruskan kerjasama ekonomi yang lebih erat antara Brunei dan Sabah serta Sarawak.
“Kedua-dua pemimpin juga mengalu-alukan penjualan Gas Petroleum Cecair kepada Brunei dari 16 Jun 2023 hingga 1 Julai 2023, dan dalam hal ini, menggalakkan kedua-dua pihak memperkukuh usaha untuk meningkatkan lagi kerjasama ekonomi antara Brunei dan Sabah serta Sarawak,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Sultan Brunei yang dalam rangka lawatan negara selama tiga hari ke Malaysia mengadakan pertemuan dengan Anwar di Seri Perdana di Putrajaya pada Khamis dan turut menyaksikan majlis menandatangani beberapa instrumen dua hala antara kedua-dua negara.
Sebelum ini Sultan Brunei dan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha diberi sambutan negara di Istana Negara di sini oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Menurut kenyataan itu kedua-dua pemimpin seterusnya mengesahkan keperluan untuk meneruskan hubungan yang lebih erat antara Brunei dan Sarawak dan menyambut baik cadangan untuk turut memasukkan Brunei Darussalam dalam pembangunan Lebuhraya Pantai Utara, yang akan menyumbang kepada manfaat sosio-ekonomi untuk kerajaan dan juga rakyat Brunei serta Malaysia.
Kedua-dua pemimpin mengalu-alukan inisiatif eksport Brunei dengan Sabah dan Sarawak bagi makanan diproses, termasuk produk berasaskan daging yang dijadualkan pada tahun ini, yang akan membantu mengukuhkan sekuriti makanan dan bekalan untuk kedua-dua pihak.
“Kedua-dua pemimpin berpuas hati dengan kerja-kerja Jawatankuasa Pertanian Teknikal Brunei Darussalam dan Sarawak dalam usaha mereka meneroka peluang dalam kerjasama pertanian.
“Kedua-dua pemimpin juga gembira dengan penyelarasan yang lancar antara kedua-dua pihak dalam eksport dan import produk pertanian dan seterusnya mengakui bahawa ini akan membuka jalan kepada kerjasama yang lebih erat dalam bidang pertanian antara Brunei Darussalam dan Sarawak,” menurut kenyataan itu.
Kedua-dua pemimpin juga mengesahkan komitmen mereka untuk melaksanakan kerjasama dalam bidang digital termasuk dalam aspek ketersambungan digital, keselamatan siber, perlindungan data peribadi dan teknologi baru muncul, di samping mengalu-alukan kemajuan yang dicapai ke arah memuktamadkan Memorandum Persefahaman dalam Bidang Kerjasama Digital.
Kedua-dua pemimpin itu juga mengesahkan manfaat dalam meningkatkan kesalinghubungan pengangkutan, terutamanya dalam memudahkan pergerakan berterusan barangan dan orang antara Brunei dan Malaysia.
Sehubungan itu, kedua-dua pemimpin menggesa supaya dimuktamadkan Memorandum Persefahaman Mengenai Kerjasama Dalam Bidang Pengangkutan disasarkan tahun ini, yang akan meningkatkan lagi kerjasama mengenai keselamatan pengangkutan, kemampanan, teknologi dan inovasi antara kedua-dua negara.
Kedua-dua pemimpin juga saling bertukar pandangan mengenai beberapa isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama, dengan menekankan keperluan untuk ASEAN kekal bersatu dan relevan, supaya ia dapat mengekalkan peranan utamanya sebagai kuasa penggerak utama yang berkesan dan responsif dalam menangani peluang dan cabaran masa depan.
“Mereka seterusnya menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dengan Rakan Dialog ASEAN dan mengekalkan pendekatan pandangan luar ASEAN berdasarkan kepentingan dan faedah bersama untuk memajukan lagi usaha pembinaan Komuniti ASEAN.
“Kedua-dua pemimpin juga membincangkan perkembangan terkini di Myanmar dan menyatakan kebimbangan mengenai keganasan yang berterusan di negara itu.
Kedua-dua pemimpin menyeru Myanmar untuk melaksanakan sepenuhnya Konsensus Lima Perkara (5PC) dan mengulangi pendirian bersatu bahawa 5PC kekal sebagai rujukan utama ASEAN untuk menangani krisis politik di Myanmar,” menurut kenyataan itu.
Kedua-dua pemimpin turut mengesahkan komitmen mereka untuk bekerjasama rapat dalam ASEAN dan rakan kongsi luar yang lain, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menggalakkan kemajuan dalam pelaksanaan 5PC secara keseluruhannya, selaras dengan keputusan pemimpin ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-42, dengan matlamat akhir mencari penyelesaian yang aman dan berkekalan, demi kepentingan rakyat Myanmar.
Kedua-dua pemimpin juga membincangkan situasi di wilayah Palestin yang diduduki dan menegaskan semula pendirian mereka yang tidak berbelah bahagi bahawa rakyat Palestin berhak mendapat hak mereka untuk sebuah negara yang merdeka dan berdaulat sendiri, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.
Sementara itu, kedua-dua pemimpin turut memperakui bahawa perkara itu selaras dengan Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Tanah Bersama Brunei-Malaysia kali ke-2 yang diadakan pada 6 Julai 2023 di Bandar Seri Begawan.
“Kedua-dua pihak secara serentak akan menandatangani Memorandum Persefahaman pertama mengenai fasa-fasa yang telah ditanda dan dikaji secara bersama yang meliputi bahagian-bahagian tertentu dalam Sektor C-D, Sektor D-E, dan Sektor K-L, sebahagian daripada Sektor J-K di sekitar Jambatan Persahabatan dan Blok B di sekitar Teluk Brunei, dengan Pertukaran Nota di peringkat Menteri untuk menentukan kedua-dua negara membuat kemajuan bersama yang ketara dalam bidang keutamaan, khususnya Sektor F-G, secepat mungkin,” menurut kenyataan itu.
Kedua-dua pemimpin juga memperakui kemuktamadan Terma Rujukan (TOR) Jawatankuasa Kerja Mengenai Perkara Keselamatan Berkaitan Sempadan Darat Brunei-Malaysia dan bersetuju bahawa Jawatankuasa Kerja itu antara lain akan membantu kedua-dua pihak untuk bersama-sama menangani perkara berkaitan keselamatan sepanjang sempadan darat Malaysia-Brunei Darussalam.
Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk mengadakan Rundingan Tahunan Pemimpin ke-25 di Brunei, tahun depan. – TVS